top of page

Muhyiddin diingat tumpu isu pertikai Agong, jangan alih perhatian soal SD



Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin agar tidak lagi menggunakan dalih jumlah akuan bersumpah (SD) sebagai alat mengalih isu terkait dirinya menyentuh kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke 16 melantik Perdana Menteri ke 10 pada November 2022 lalu.


Perdana Menteri berkata, Presiden Bersatu itu perlu memberi tumpuan kepada ucapan beliau yang didakwa berunsur mempertikai keputusan Agong semasa berceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.


"Masalah dia apa? Masalah dia adalah kenyataan (Muhyiddin) yang ditafsir sebagai menghina dan mempertikaikan kuasa raja. Itu dia," katanya pada sidang media selepas makan tengah hari di Gerai Gertak Merah sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur hari ini.


Kelmarin Muyhiddin dilapor menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan berhubung isu beliau menyentuh institusi raja ketika berkempen minggu lalu.


Antara dokumen diserahkan ialah surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang meminta anggota Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.


Media baru-baru ini, melaporkan sebanyak 30 laporan polis telah diterima berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata siasatan ke atas bekas Perdana Menteri berkenaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.


Mengenai jumlah SD, Anwar berkata, beliau sebelum ini enggan mengulas isu berkenaan selepas mengambil kira ia bukan suatu isu yang perlu diperdebatkan, selain menafikan dakwaan Muhyiddin memiliki sebanyak 115 dokumen bagi menyokong beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke 10.


Beliau berkata, pandangan Majlis Raja-Raja (MRR) dan Peguam Negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 menjelaskan jumlah SD diterima Ahli Parlimen Pagoh itu dipertikaikan, sekali gus menyebabkan ketetapan mengenainya diserahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.


"Saya fikir ini (bilangan SD untuk menyokong pelantikan Perdana Menteri Ke-10) bukan isu. Asyik jaja 115 di mana-mana, tidak betul. Jika dia (Muhyiddin) bawa 115, betullah 115.


"Namun, (ada ahli Dewan Rakyat) yang tandatangan dua (SD) dan Yang di-Pertuan Agong teliti perkara ini untuk lihat orang yang sudah tandatangan.


"Kemudian ada parti yang memberi mandat penuh kepada ketua parti untuk membuat keputusan berkaitan SD dan ia mutlak serta tidak boleh dipertikai," katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun.


Perdana Menteri menjelaskan sebenarnya berlaku pertindihan SD yang ditandatangani anggota Dewan Rakyat ketika peringkat awal proses pemilihan jawatan Ketua Eksekutif negara, pasca PRU15.


"Sebenarnya ada (anggota Dewan Rakyat) tandatangan antara dua hingga tiga SD serta menyerahkan kuasa penuh kepada ketua parti. Sebab itu saya ketika itu mengusulkan (supaya SD dinilai) berdasarkan satu tafsiran, namun ia ditolak, dan terima baik (penolakan berkenaan).


"Yang di-Pertuan Agong tertakluk pada Perlembagaan, apabila kedudukan tidak jelas, Muhyiddin kata ada 115 (SD), Anwar kata ada 112 (SD) dan ada orang (anggota Dewan Rakyat) tandatangan dua dan tiga (SD).


"Ada parti berbeza pendapat. Justeru, tuanku terpaksa buka balik dan semak (SD) untuk meyakinkan diri baginda. Sebab itu dalam Perlembagaan dikatakan 'pada hemat baginda'," katanya lagi.


Untuk rekod Muhyiddin dalam ceramah di PRK Nenggiri berkata bahawa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas PRU-15 yang membolehkannya diangkat sebagai Perdana Menteri dan menubuhkan kerajaan.


Namun dakwanya, pihaknya tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page