Seperti dijangka dua parti pembangkang yang sebelum ini dikenali sebagai 'third force' iaitu MUDA dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) kerana kemungkinan tidak yakin mendapat sokongan rakyat.
Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng, setelah kesemua 19 calon kuasa ketiga itu kalah, malah hilang deposit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023 lalu, ia membuktikan koalisi berkenaan tidak lagi mendapat tempat dalam arus perdana politik tanah air.
"Sejujurnya, sama ada MUDA atau PSM malah Pejuang juga gagal membuktikan kelainan atau kekuatan politik nilai, menyebabkan rakyat tidak lagi melihat mereka sebagai ‘kuasa ketiga’ yang boleh diharap.
"Lebih memalukan apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan jawatan sebagai presiden MUDA hanya setelah mahkamah mendapati dia bersalah terhadap empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada)," katanya.
Dalam pada itu, Andre Lai juga menempelak kenyataan pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, kononnya ketetapan berkenaan dibuat selepas kedua-dua parti itu mempertimbangkan pelbagai aspek.
"Sekiranya keputusan itu diambil kononnya membolehkan pengundi di DUN Kuala Kubu Bharu melaksanakan hak mengundi dan mengemukakan ‘referendum kuat’ terhadap prestasi Kerajaan MADANI, mengapa Amira enggan mengakui selain Kerajaan Perpaduan stabil, MUDA sendiri sudah tidak mampu berperanan menjadi ‘semak dan imbang’ setelah gagal menjawab mengapa Syed Saddiq berundur?" soalnya.
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju mengingatkan Amira agar tidak menjadi 'sekutu politik PN' biarpun tidak mengambil bahagian dalam PRK kali ini.
Comments