top of page

MUDA Perlu Bina Kekuatan Untuk Sertai PH



Oleh: Mohd Fauzi Fadzil


ULASAN: ‘Kaduk Naik Junjung’ adalah peribahasa yang paling sesuai merujuk kepada telatah pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang terus-menerus mendesak pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menerima kemasukan mereka ke dalam gabungan politik PH.


Perkara pertama yang perlu difahami oleh pimpinan MUDA adalah mereka merupakan ‘orang luar’ yang sedang memohon kebenaran untuk masuk ke rumah PH. ‘Tuan rumah’ berhak menentukan bila masa yang sesuai ‘orang luar’ tersebut boleh masuk ke rumah mereka. Perbuatan mendesak penerimaan MUDA ke dalam PH adalah suatu perbuatan tidak menghormati hak parti gabungan PH sebagai ‘tuan rumah’.


Menurut Adam Adli selaku Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, permohonan MUDA untuk menyertai PH tidak pernah ditolak. Permohonan tersebut hanya belum sempat dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH memandangkan banyak perkara mustahak lain yang perlu diberi perhatian.


Menterjemah idea reformasi kepada polisi


Mohd Fauzi Fadzil

PH kini adalah sebahagian kerajaan, fokus paling utama untuk memastikan Kerajaan Madani pimpinan PMX mampu menterjemahkan idea reformasi dalam bentuk polisi dan dasar kerajaan. Maka pimpinan MUDA harus bersabar menunggu jawapan daripada pimpinan PH, jika mereka tidak bersedia bertolak-ansur maka bagaimana hubungan MUDA bersama parti gabungan PH yang lain mampu bertahan lama dalam sebuah gabungan rasmi?


Pimpinan MUDA juga sebelum ini telah menunjukkan sifat yang kurang matang apabila menyatakan tuntutan terhadap 15 kerusi parlimen yang ingin mereka tandingi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15. Tuntutan tersebut dibuat sebelum memulakan perbincangan dengan Majlis Presiden PH.


Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Presiden MUDA juga telah mencalarkan imejnya apabila meletakkan calon MUDA di kerusi Dewan Undangan Negeri Larkin semasa Pilihan Raya Negeri Johor pada tahun 2022. Akibatnya berlaku pertembungan enam penjuru di kerusi tersebut sehingga PH terlepas peluang untuk memenangi DUN itu.


Relevan atau tidak?


Kemasukan MUDA ke dalam PH juga dianggap oleh sesetengah sayap pemuda PH tidak releven, kerana ia tidak memberi nilai tambah kepada kekuatan PH. MUDA gagal untuk membawa gelombang besar-besaran pengundi belia untuk menyokong PH semasa PRU-15. MUDA mendakwa bahawa mereka mendapat sokongan generasi millennium namun data oleh Ilham Centre menunjukkan menunjukkan pengundi belia lebih cenderung untuk mengundi Perikatan Nasional (PN) semasa PRU-15.


Justeru pada satu sisi, penyokong PH melihat kemasukan MUDA kurang menyumbang atau membawa kekuatan tambahan, malah hanya merumitkan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri yang akan melibatkan enam buah negeri di Semenanjung Malaysia sekitar Julai tahun ini.


MUDA sepatutnya menumpukan perhatian untuk membina kekuatan mereka sendiri dari segi keahlian dan struktur organisasi. Ingatlah peribahasa Melayu ada menyebut bahawa ‘Harimau Ditakuti Kerana Taringnya’. Oleh itu, MUDA wajar baiki kelemahan sebelum melakukan sebarang desakan. Pimpinan MUDA tidak boleh terus-menerus berteriak simpati untuk kelangsungan parti mereka.


________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page