Parti MUDA dan organisasi massa BERSIH yang banyak menyuarakan kritikan mengenai tindakan kerajaan untuk melesenkan platform media sosial gagal hadir dalam sesi libat urus bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam satu hantaran di X kecewa kerana dua organisasi yang banyak bersuara tersebut tidak membawakan suara rakyat secara rasmi kepada kerajaan.
"BERSIH dijemput ke sesi libat urus MCMC mengenai pelesenan platform media sosial dan perkhidmatan pesanan internet, tapi tidak hadir.
"MUDA juga dijemput dan tidak hadir.
"Banyak komen daripada mereka tapi apabila dijemput untuk berikan pandangan dan bertanyakan soalan, kelibat mereka langsung tidak kelihatan," katanya hari ini.
Selain itu, Fahmi juga mengingatkan pengguna media sosial agar tidak terpedaya dengan maklumat salah yang sengaja disebarkan sesetengah pihak kononnya mereka akan disukarkan dengan keperluan memiliki lesen, sebelum boleh menggunakan perkhidmatan media sosial.
"Pelesenan yang diperkenalkan pada 1 Ogos 2024 dan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan tidak sama sekali melibatkan pengguna.
"Ianya hanya terpakai kepada pihak penyedia perkhidmatan media sosial, contohnya TikTok, Meta, X, Telegram," kata Fahmi lagi.
Semalam, MCMC telah menjemput sejumlah 103 pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan masyarakat sivil (NGO) dan agensi penguatkuasaan undang-undang, untuk beberapa sesi libat urus berhubung langkah mengawal selia platform media sosial melalui keperluan pelesenan.
Sessi tersebut bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan menambahbaik pelaksanaan yang akan berkuatkuasa mulai tahun hadapan.
Perlesenan platform media sosial bertujuan untuk mengawal jenayah siber termasuk buli siber yang berleluasa kebelakangan ini dan tidak untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat. Perlesenan telah dilakukan di banyak negara termasuk di negara maju Eropah.
Comments