
Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan susulan kerjasama yang terjalin antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak yang memperlihatkan perkembangan ekonomi positif di Bumi Kenyalang itu.
Beliau mengingatkan, hasil mahsul besar yang diraih negara selama ini berjaya menjadikan dana Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) sebagai dana utama di peringkat awal pembentukan negara dan juga pertumbuhan ekonomi serta pemangkin kepada pembangunan negara.
''Ini semua berkat negeri Sarawak Bumi Kenyalang dan kerjasama erat dan akrab Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
''Maka sebab itulah kita memilih untuk memberikan sedikit penyesuaian dan pengiktirafan kepada peranan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi di negeri berkenaan.
''Kita bersyukur kepada Allah kerana muafakat ini terus dikekalkan, malah ditambah mantapkan bagi menjamin kesejahteraan negara dan negeri Sarawak,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan aktiviti petroleum di Sarawak dekat Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan itu, Anwar merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada rakan-rakan di PETRONAS, Jemaah Menteri yang bersetuju dan Premier Sarawak serta Kerajaan Negeri Sarawak atas kerjasama yang diberikan secara berterusan dalam mengurus aset petroleum negara.
Daripada segi pulangan kewangan, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa Sarawak telah menerima bayaran Tunai sebanyak RM49 bilion sehingga Disember 2024.
Selain itu katanya, Sarawak juga menerima bayaran Cukai Jualan sebanyak RM18.66 bilion sehingga suku ketiga 2024.
''Dividen sebanyak RM28.6 bilion (sehingga Disember 2024) telah diperolehi melalui pegangan saham State Financial Secretary of Sarawak ('SFS') dalam Syarikat Kumpulan MLNG.
''SFS merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah State Financial Secretary (Incorporation) Ordinance, 1948.
''PETRONAS juga telah menyumbang secara langsung kepada usaha pembangunan modal insan warga Sarawak,'' jelas beliau lagi.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Tambun itu turut mengimbas pencapaian 10 tahun lalu yang iaitu lebih RM600 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai usaha pendidikan dan pembangunan modal insan.
Katanya, lebih 680,000 warga Sarawak telah mendapat tajaan dalam bentuk biasiswa selain program latihan untuk warga pendidik.
Malah ujarnya, lebih 4,300 warga Sarawak juga sudah mendapat peluang pekerjaan di PETRONAS.
Comments