KEADILAN Sarawak hari ini merakamkan penghargaan kepada mantan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak, Senator Abun Sui Anyit yang telah berkhidmat sejak tahun 2022 hingga 2024.
Menurut Pengerusi MPN Sarawak, Roland Engan, Abun Sui yang digantikan oleh Timbalan MPN baharu, Ahmad Nazib Johari Ketua Cabang Santubong, telah berkhidmat dengan baik terutama dalam memulihkan KEADILAN di negeri itu selepas tahun 2020.
"KEADILAN Sarawak ingin merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada YB Senator Abun Sui Anyit yang telah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sarawak sejak 2022.
"KEADILAN Sarawak juga mengucapkan tahniah kepada Tuan Ahmad Nazib Johari atas perlantikkannya sebagai Timbalan Pengerusi MPN Sarawak yang baru," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Roland Engan, agenda memperkukuhkan parti akan diteruskan. Mengenai rombakan kepimpinan beliau akan membincangkannya dengan kesemua Ketua Cabang KEADILAN seluruh Sarawak.
"Agenda memperkukuhkan parti masih kekal menjadi keutamaan. Meskipun demikian, Majlis Pimpinan Negeri Sarawak hanya akan dirombak semula sekiranya perlu setelah perbincangan dengan Timbalan Pengerusi yang baru, dan setelah mendapat maklumbalas semua 31 Ketua Cabang seluruh Sarawak," katanya lagi.
Comments