
Program Ihya Ramadan di Masjid Al-Azim, Jementah, Johor baru baru ini dikunjungi Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj.
Bagi Yuneswaran satu penghormatan apabila beliau dijemput ke program berkenaan yang diawali lawatan sekitar masjid ditemani Ketua Kampung Permatang Panjang, Tok Jailani serta barisan kepimpinan masjid.
"Sebelum waktu berbuka, saya dibawa meninjau kawasan sekitar masjid, dari ruang solat utama sehinggalah ke bahagian yang memerlukan sedikit baik pulih. Kami berbincang tentang keperluan dan cadangan untuk memperbaiki fasiliti demi keselesaan jemaah.
"Saya berbesar hati menaja jamuan berbuka puasa dengan sumbangan sebanyak RM5,000 serta bunga telur pahar bernilai RM500, sebagai simbolik kecil meraikan suasana Ramadan bersama komuniti.
"Selain itu, saya juga menyumbang RM2,500 bagi menyokong program dan aktiviti masjid agar terus subur dengan ilmu dan amal," katanya.
Dalam majlis isu, Yuneswaran turut mengagihkan sumbangan kepada 48 asnaf berupa RM100 seorang untuk membantu perbelanjaan keluarga pada Ramadan ini.
"Bagi saya, inilah wajah sebenar Malaysia, di mana perpaduan bukan hanya dilaungkan tetapi dizahirkan dalam tindakan.
"Walaupun saya bukan beragama Islam, sebagai Ahli Parlimen Segamat, saya percaya tanggungjawab saya adalah untuk menyokong semua rakyat, menghormati kepercayaan mereka, dan bersama-sama membina masyarakat yang bersatu hati.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat, khususnya pihak masjid yang sentiasa terbuka dan menyambut baik kehadiran saya," katanya.
Kehadiran Yuneswaran ke masjid itu diiringi Pegawai Pembangunan dan Dasar Pejabat Ahli Parlimen Segamat, Datuk Wan Abdul Rahman.
Comments