Oleh: Abdullah Zaid
Blok Perikatan Nasional (PN) disaran untuk melihat kaedah Pakatan Harapan (PH) berbincang dengan tertib berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan parlimen pembangkang.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata PH ketika menjadi pembangkang dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya menguruskan MoU dengan cukup baik dan tersusun.
Malah, jelasnya adalah tidak tertib blok PN membuat kenyataan terbuka sedangkan isi kandungan MoU itu masih dalam perbincangan.
"Waktu pembangkang, kita tidak bincang dengan media jadi kalau ikut langkah kami dahulu bincang dengan baik dan tertib itu tidak jadi masalah.
"Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) sudah menyatakan bahawa ini adalah draf, datanglah berjumpa, sampaikan pandangan, kita boleh berbincang.
"Jadi kalau dia (pembangkang) nak mengadu secara terbuka seperti itu, belajarlah daripada bagaimana kami melakukannya," katanya pada sidang media selepas pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Terdahulu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bangkit mempersoalkan draf MoU peruntukan pembangkang.
Antara syarat daripada keseluruhan draf itu adalah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja-Raja (3R).
Pembangkang menentang syarat perisytiharan harta dan mendakwa mereka bukanlah kakitangan awam yang perlu garis panduan sedemikian.
Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan perbincangan MoU itu perlu diadakan melalui saluran rundingan dan bukan menerusi media atau perbincangan terbuka.
Comentários