Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili kepimpinan Kerajaan Madani mengambil keputusan untuk mendedahkan draf memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang selepas Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Ketua Pembangkang menolak draf tersebut.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil ketetapan untuk menolak draf MoU kerana beranggapan ia mempunyai niat tersirat mengekang kebebasan Ahli Parlimennya.
Tidak jauh beza dengan MoU kepada PH
Namun jika diteliti draft MoU yang dibentang kepada PN, ia tidak jauh bezanya dengan MoU yang dibentangkan kepada Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021. Hanya terdapat beberapa penambahbaikan yang dilakukan dengan mengembangkan MoU terbaru ini kepada Lampiran A dan B. Felo Penyelidik Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir UUM, Mujibu Abd Muis turut mengakui matlamat akhir MoU yang telah dibentangkan bersifat menang-menang kepada pihak-pihak terlibat.
Pemimpin PN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah selaku Ahli Parlimen Indera Mahkota menolak draf MoU terbaru ini berdasarkan empat perkara fundamental. Penolakan pertama adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, beliau mendakwa draf MoU tersebut kerana membuka ruang untuk sesetengah pihak mempersoalkan teras-teras Perlembagaan Persekutuan.
Isu-isu teras di dalam Perlembagan sentiasa diperdebatkan sejajar dengan perkembangan semasa, terbaru isu bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Persekutuan terhadap undang-undang syariah telah dicabar di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Namun mencabar perkara teras di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak semudah menandatangani MoU kerana penafsirannya perlu melalui Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Justeru MoU yang ditandatangani oleh Kerajaan Madani bersama pembangkang sebenarnya tidak memberi kesan kepada teras-teras Perlembagaan kerana bidang kuasa menafsir Perlembagaan tidak merujuk kepada draf MoU yang bakal ditandatangani.
MoU tidak melangkaui kuasa Raja raja Melayu
Penolakan kedua PN terhadap draf MoU terbaru ini adalah berdasarkan nilai kemanusiaan, Saifuddin Abdullah mendakwa draf MoU tersebut memberi ruang fahaman hak asasi yang berlawanan dengan nilai agama dan budaya Malaysia untuk berkembang dan diiktiraf.
Dakwaan yag dilakukan ini terlalu longgar kerana menurut pakar undang undang Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari bahawa landasan dan pengarahan hak-hak asasi di Malaysia meskipun jelas kelihatan berkerangkakan Westminster tetapi tidak menganut fahaman liberal Barat sepenuhnya.
Tema yang melatari tafsiran dan pelaksanaan hak-hak asasi di Malaysia terletak kepada kumpulan autokratik dan feudal yang mempunyai autoriti mutlak, keadaan ini memberi maksud bahawa hak asasi yang berlawanan dengan nilai agama dan budaya Malaysia tidak mungkin berkembang dan diiktiraf selagi institusi Raja-Raja Melayu masih diberi kuasa memayungi agama Islam oleh Perlembagaan Persekutuan.
Justeru draf MoU yang bakal ditandatangan tidak mungkin melangkaui kuasa institusi Raja-Raja Melayu dalam menafsirkan hak asasi manusia yang sesuai dengan kerangka Malaysia.
Penolakan ketiga PN terhadap draf MoU ini adalah berdasarkan prinsip keadilan. Saifuddin Abdullah mendakwa draf MoU tersebut membuka peluang untuk pihak berkuasa menafsir sesuatu perkara mengikut selera politik. Saifuddin dalam isu ini kelihatan tersasar dari hujah kerana kuasa menafsir undang-undang tidak terletak kepada pihak berkuasa, kuasa tersebut terletak kepada institusi judisiari.
Pihak berkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya diberi kuasa menjalankan siasatan terhadap apa-apa pertuduhan yang dikemukakan oleh masyarakat awam. Kuasa menafsir sama ada kesalahan telah dilakukan atau tidak adalah terletak kepada institusi mahkamah.
Justeru draf MoU yang bakal ditandatangani sekali lagi tidak menjejaskan kuasa institusi judisiari, jauh sekali memberi kuasa yang lebih besar kepada pihak berkuasa.
Larangan mencaci, menghasut perkara baik
Penolakan keempat PN terhadap draf MoU adalah berdasarkan aspek pengurangan kebebasan bersuara sedia ada dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.
Perkara ini juga tidak benar jika ingin dikaitkan kepada draf MoU ini kerana secara jelas perkara yang dihalang untuk Ahli Parlimen bicarakan berdasarkan draf tersebut adalah terkait ucapan-ucapan berbentuk kebencian, diskriminasi kaum, agama, dan sebarang bentuk hasutan terhadap Institusi Diraja.
Adakah Saifuddin tidak bersetuju dengan syarat tersebut yang kelihatan baik walaupun kelihatan mengurangkan bidang perbahasan yang dibolehkan di dalam kerangka demokrasi.
Tiada manfaatnya membiarkan sentimen kebencian dibiarkan berleluasa di dalam sebuah negara demokrasi kerana ia mungkin membiakkan kumpulan-kumpulan ekstrem dan pelampau pada masa hadapan.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Commenti