MOTAC siasat isu jemaah umrah terkandas
- Suara Keadilan
- Jan 16
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengambil maklum berkenaan isu sebuah syarikat pelancongan berlesen yang didakwa gagal menerbangkan jemaah umrah baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan MOTAC berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
"MOTAC menasihati mana-mana jemaah yang berkaitan dengan aduan ini boleh membuat laporan polis di balai polis berdekatan, membuat aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MOTAC untuk membantu siasatan dan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia," kata Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akhbar Khan dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan 379 jemaah yang mahu berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan umrah gagal diterbangkan sebuah syarikat pelancongan terkenal.
Majoriti penumpang mendakwa syarikat terbabit tidak memberikan butiran penerbangan, tempat tinggal mahupun status visa.
Sementara itu MOTAC dalam kenyataannya berkata, syarikat tersebut diarahkan menerbangkan jemaah yang sudah membuat pembayaran penuh mengikut jadual penerbangan dipersetujui dan memulangkan wang kepada mereka yang telah memohon untuk membatalkan pakej umrah.
Syarikat terbabit juga digesa tidak mengambil tempahan daripada jemaah umrah baharu sehingga semua tempahan yang terdahulu diselesaikan.
MOTAC juga mengingatkan agar semua syarikat pelancongan yang terlibat dengan industri umrah jujur dan telus dalam melaksanakan perniagaan terutama berkenaan dengan pakej ditawarkan.
Isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan memulangkan wang apabila berlaku perubahan tegasnya hanya akan menjejaskan industri tersebut.
"Ini bukan sahaja akan mencemarkan imej industri tetapi juga membawa kepada kehilangan keyakinan dalam kalangan jemaah untuk memilih syarikat pelancongan berlesen tempatan untuk menunaikan umrah,
"Tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat yang didapati melakukan sebarang pelanggaran di bawah Akta Industri Pelancongan 1992," ujar kenyataan tersebut.
Comments