
Kerajaan MADANI akan memperkukuh ekosistem sektor angkasa negara seiring penguatkuasaan penuh Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) bermula 25 Januari lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang, berkata penguatkuasaan penuh Akta 834 menjadi asas penting bagi Malaysia menyertai perundangan angkasa antarabangsa, termasuk Triti Angkasa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Akta 834 digubal untuk mengawal selia, menyelaras dan mentadbir aktiviti angkasa negara bagi memastikan ia dijalankan secara bertanggungjawab, selamat dan selaras perundangan antarabangsa.
"Ia menetapkan peraturan berkaitan pendaftaran objek angkasa, tanggungan liabiliti, pengurusan insiden dan kemalangan, serta rejim pelesenan bagi pelancaran dan pengoperasian objek angkasa oleh warganegara atau syarikat Malaysia.
"Penguatkuasaan akta ini akan dikendalikan Bahagian Penguasa Angkasa (BPA) MOSTI, dengan Lembaga Angkasa Malaysia membabitkan tujuh kementerian sebagai badan pemantau utama," katanya dipetik pada sidang media di Parlimen semalam.
Sementara itu tambah Lih Kang, akta tersebut dijangka membuka ruang kepada negara menerima lebih banyak kemasukan pelaburan asing, sekali gus merancakkan pengembangan sektor angkasa tempatan.
Selain itu MOSTI yakin sasaran mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan seperti disasarkan menerusi Dasar Angkasa Negara 2030 akan dapat dicapai.
Comments