Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) maju selangkah lagi dengan menganjurkan kerjasama bersama NASA (Badan Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika) dalam bidang penerokaan sains angkasa.
Menurut Menteri MOSTI, Chang Lih Kang, kerjasama tersebut membuktikan keupayaan Malaysia dalam sektor angkasa dan keazaman negara untuk terus maju sebagai pemain utama sains angkasa di peringkat global.
"Antara perbincangan (MOSTI-NASA) adalah bagi memperkukuh kerjasama melibatkan pemantauan perubahan iklim, pengurusan bencana, dan penyelidikan sains angkasa.
"Melalui usahasama ini, Malaysia dapat memperkukuh pembangunan teknologi angkasa tempatan, menyokong agenda nasional dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar.
"MOSTI komited untuk memastikan bidang angkasa menjadi pemangkin kepada pembangunan negara, bukan hanya dari segi teknologi tetapi juga dari sudut ekonomi dan pembinaan bakat tempatan.
"Melalui agensi seperti Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kita akan terus memperkukuh program sains angkasa yang mampu mencipta impak kepada rakyat dan masa depan negara," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, kata Lih Kang, kerjasama strategik itu juga membuka pintu untuk generasi muda Malaysia menyertai program-program angkasa bertaraf dunia, sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk mencipta kejayaan baharu dalam bidang STEM dan teknologi angkasa.
"Malaysia kini sedang melangkah lebih jauh dalam aspirasi angkasa, dan dengan sokongan semua pihak, saya yakin kita mampu mencapai kejayaan yang lebih besar," katanya lagi.
Kommentare