
Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan rakan kongsi inovasi global bagi meningkatkan kemajuan teknologi dan berdaya saing.
Menterinya, Chang Lih Kang menyifatkan, kerjasama dengan rakan kongsi serantau dan antarabangsa termasuk Asean dan China adalah kunci untuk meningkatkan kapasiti dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan bandar pintar.
"Dengan menyatukan kepakaran dan sumber, Malaysia berhasrat untuk memacu kemajuan teknologi bagi mewujudkan masa depan yang makmur di rantau ini.
"Mandat kami adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai hab teknologi dan inovasi global serta peneraju serantau dalam teknologi dan inovasi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Pelancaran Arral Startup Asean Malaysia-China Summit 2024, di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, pihaknya turut memberi tumpuan untuk mempercepatkan penggunaan teknologi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
Ujarnya, ia adalah untuk meningkatkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, dan peralihan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi.
Comments