Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bakal membina reaktor hidrogen pepejal untuk penjanaan elektrik lestari di kawasan luar bandar.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata reaktor itu yang akan dibina di Perak pada tahun ini selaras dengan tumpuan kementerian kini sedang memberi fokus dan penekanan kepada lima aspek iaitu kecerdasan buatan (AI), teknologi keselamatan makanan, angkasa, ekosistem startup serta teknologi hidrogen.
"Kita ada projek perintis yang menjadi projek ketiga yang mana kita guna hidrogen pepejal untuk menjana elektrik di kawasan luar bandar terutamanya di kawasan yang tiada bekalan elektrik.
"Kita akan guna hidrogen pepejal yang pertama untuk jana elektrik di Malaysia di kawasan Tanjung Malim yang dijangka dilancarkan tahun ini," katanya dipetik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim berkata begitu ketika ditemui pada Program Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Perak pada Sabtu.
Sementara itu Lih Kang menjelaskan, sektor tenaga adalah salah satu daripada Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).
Pelan itu kini berada pada hala tuju fasa pertama dan dijangka sehingga 2050.
"Fasa pertama ini kita akan buat pameran menunjukkan apa teknologi hidrogen, oleh sebab itu kita ada pelbagai program seperti pameran kenderaan hidrogen nak tunjukkan kepada dunia dan buktikan kepada rakyat Malaysia bahawa teknologi sudah sedia.
"Seterusnya kita akan bina satu stesen pengisian semula hidrogen mudah alih yang dijangka siap pada awal tahun depan dan ini adalah perkembangan daripada HETR," tambahnya.
Comments