Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan orang ramai untuk mengusahakan ternakan ikan secara kecil-kecilan di rumah bagi membekalkan makanan segar kepada keluarga selain menjimatkan kos perbelanjaan harian.
Beliau yang mesra dipanggil "Bang Mat" tidak memberikan cadangan kosong, sebaliknya mempraktikkannya dengan menternak ikan kaloi atau dikenali sebagai gourami di halaman kediamannya yang kini sudah sampai waktu untuk dinikmati hasilnya.
"Bang Mat ingin mengajak sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang perikanan untuk mencuba menternak ikan secara kecil-kecilan di rumah.
"Ikan gourami ini Bang Mat ternak di halaman rumah, dan kebetulan hari ini tiba masa untuk dituai," katanya dalam hantaran di Facebook.
Apa yang lebih istimewa hasil ternakan ikan kaloi itu dapat turut dinikmati oleh Anvar Anarbaev, Duta Besar Republik Kyrgyzstan ke Malaysia yang dipelawa oleh Mohamad untuk menjamu selera di kediamannya selepas mereka bermesyuarat di Wisma Tani, Putrajaya pada Isnin lalu.
"Sajian istimewa yang menanti adalah nasi bersama ikan kaloi.
"Hidangan yang disajikan merupakan masakan kampung orang utara. Apa yang lebih istimewa, rasa ikan gourami ini memang sedap!" kata Mohamad yang turut memberikan ikan kaloi tersebut kepada Anvar untuk dibawa pulang.
Terdahulu dalam pertemuannya dengan Anvar, Mohamad berkata pertemuan pertama ini menjadi platform yang bermakna untuk perbincangan produktif dalam usaha meningkatkan pembangunan ekonomi dan faedah bersama bagi kedua-dua negara.
"Bang Mat percaya terdapat banyak peluang kerjasama yang boleh diterokai, terutamanya dalam perdagangan sektor pertanian seperti eksport dan import hasil tani," ujarnya.
"Inisiatif seperti ini adalah langkah penting ke arah memperkukuh kerjasama strategik yang akan membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat kedua-dua negara," katanya lagi.
Comments