Malaysia berminat untuk mencontohi pengalaman China dalam menukar bandar bandar kecil pertanian pada era 1990an di negara itu menjadi pusat industri berteknologi tinggi.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata demikian dalam siri lawatannya ke beberapa bandar utama di China sejak kelmarin.
Beliau tertarik dengan kemajuan bandar Suzhou yang mempunyai ekonomi berasaskan pertanian padi pada awal 1990an kepada pusat teknologi tinggi seperti nano teknologi, bio teknologi dan semikonduktor hari ini.
"Dalam tahun 1994, pihak berkuasa bandar Suzhou menyambut dasar Kerajaan China ketika itu untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.
"Mereka memutuskan untuk membangunkan taman perindustrian berteknologi tinggi, tetapi mereka tidak mempunyai kepakaran dan wang.
"Akhirnya, mereka melakukan usahasama dengan Kerajaan Singapura melalui sebuah syarikat bernama Suzhou Industrial Park, yang bertanggungjawab membangunkan dan menguruskan taman perindustrian itu," kata Rafizi dalam kenyataan di Facebook.
Tambah beliau, semasa permulaan operasi Singapura memegang saham majoriti sebagai pelabur.
Namun setelah 30 tahun, saham Singapura dibeli kembali oleh Kerajaan China dan Suzhou Industrial Park diiktiraf sebagai pusat teknologi tinggi paling besar dan berjaya di China.
"Saya ke Suzhou Industrial Park sebagai kerja awal untuk membina ekosistem pelaburan industri berteknologi tinggi seperti ini di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Model pembangunan industri di JS-SEZ mesti menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada keperluan bersepadu seperti pembiayaan, kepakaran teknologi, menarik pelabur dan lain-lain, bukan kepada fokus hartanah semata-mata.
"Rundingan untuk memuktamadkan JS-SEZ dengan Kerajaan Singapura sedang berjalan," katanya.
Kata Rafizi, dengan kepakaran bersama Malaysia - Singapura dan pengalaman taman industri seperti Suzhou, 30 tahun daripada sekarang kawasan JS-SEZ akan menjadi metropolis baru seperti mana Suzhou yang menjadi metropolis di atas tapak sawah padi sebelumnya.
Comments