Oleh: Akmal Manaf
Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lalu mencerminkan kemajuan positif ke arah pengagihan kekayaan.
Bagi Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Jalex Lee En Xiang, langkah ke hadapan yang tepat selepas belanjawan itu adalah tindakan memperkasa serta memperluaskan golongan M40 serta meningkatkan kemahiran B40.
"Hanya dengan itu Malaysia dapat membina ekonomi yang inklusif dan mampan di mana setiap warganya berpeluang untuk maju.
"Usaha berterusan dan perubahan sistematik ke arah ini akan menjadi penting ketika kita menuju ke arah Malaysia yang lebih seimbang dan makmur," kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, belanjawan itu juga menggambarkan kemajuan signifikan ke arah pengagihan kekayaan yang lebih adil.
Kata Jalex Lee, hal itu sekali gus menyokong komitmen kerajaan untuk mengubah struktur ekonomi negara berasaskan piramid dan bertransformasi ke arah model 'berlian' dengan menekankan keperluan untuk memperkasakan golongan kelas pertengahan dan mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan seimbang.
"Pengenaan cukai yang lebih tinggi kepada T20 dan peningkatan kebajikan untuk B40 menunjukkan komitmen terhadap pengagihan kekayaan yang lebih saksama.
"Dengan memastikan mereka yang memerlukan mendapat bantuan kewangan yang sewajarnya, kita sedang mengambil langkah penting untuk mengurangkan ketidaksamaan dan memupuk kestabilan sosial.
"Namun golongan M40 harus menjadi tumpuan utama dalam strategi kita. Golongan ini merupakan kumpulan pendapatan paling produktif, menyediakan tenaga kerja, keusahawanan, dan kuasa pembelian yang penting bagi ekonomi," katanya.
Dalam kenyataan sama beliau menyifatkan, menyokong dan memperkasa golongan M40 akan menjadi kunci dalam mengubah landskap ekonomi Malaysia.
Ujarnya, ianya sekali gus membolehkan kelas pertengahan berkembang maju serta memainkan peranan penting dalam mencapai pertumbuhan dan kestabilan jangka panjang.
"Meskipun mengenakan cukai kepada T20 dan memberikan bantuan kepada B40 membantu menaikkan mereka ke dalam kelas pertengahan, peningkatan kemahiran juga adalah sama penting.
"Menyediakan pendidikan, pembangunan kemahiran, dan peluang latihan akan memastikan individu dapat mengekalkan status mereka dalam kelas pertengahan dan mengelakkan mereka daripada jatuh semula ke dalam kesusahan kewangan," ujarnya.
Dengan meningkatkan produktiviti di semua peringkat, Jalex Lee berpendapat ia akan dapat mengurangkan pergantungan kepada bantuan dan membina ekonomi yang lebih lestari.
Katanya, hal itu selaras dengan pandangan Setiausaha Politik Menteri Kewangan selaku Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Kamil Munim dengan meningkatkan ekonomi B40 ke arah masyarakat produktif.
"Dengan perubahan progresif ini, peralihan organik daripada model piramid (T20, M40, B40) kepada model berlian (T20, M60, B20) dijangka berlaku dalam masa terdekat.
"Melalui transformasi ini, kelas pertengahan yang lebih besar akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih meluas, membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk terlibat secara bermakna dalam ekonomi dan seterusnya mendorong KDNK negara.
"Negara-negara seperti Jerman dan Singapura telah mengamalkan model serupa, yang menunjukkan kemakmuran mapan dalam ekonomi mereka," katanya lagi.
Comments