Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mahu kakitangan awam membantu untuk menyelesaikan semua isu mendesak seperti menoktahkan kemiskinan tegar dan projek tebatan banjir bagi memastikan rakyat yang terjejas dapat dibantu.
Perdana Menteri berkata perkara tersebut perlu dilakukan meskipun terpaksa merombak peruntukan tertentu di agensi lain demi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat terjamin.
"Saya setuju dalam perbincangan kita harus rombak itu semua kerana banjir mengorbankan nyawa dan harta … dan kalau perlu jimat daripada perbelanjaan lain, kita jimatkan, kalau perlu pinjam kita pinjam.
"Semua program mendesak, seperti kemiskinan tegar dan tebatan banjir harus disegerakan dan tidak ikut unjuran lima, enam tahun … supaya dalam tempoh singkat masalah itu diselesaikan sebaik mungkin," kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri meminta Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) terbabit agar turun padang untuk melihat sendiri projek yang menjadi keperluan rakyat untuk segera diselesaikan.
"Kalau tidak, KSU baru datang kemudian tengok skim banjir untuk tebatan banjir fasa satu di Rantau Panjang dah siap, fasa kedua 2026, fasa ketiga 2029, jadi orang Rantau Panjang kena tunggu 15 tahun baru nak siap? Tak usah bangkit keupayaan negeri, saya tidak mahu dengar hal itu, yang saya tahu kita mesti selesaikannya.
"Kerjasama dan perubahan tentunya melibatkan peruntukan kewangan besar, tetapi kalau perlu potong peruntukan daripada tempat lain, kita potong, kerana mesti selesaikan perkara asas dihadapi rakyat," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam di setiap peringkat diberikan peluang untuk mengutarakan pandangan bagi memastikan penglibatan meluas dalam pentadbiran kerajaan.
Jelasnya pendekatan inklusif dalam perbincangan dan mesyuarat jabatan tanpa mengira pangkat dan kedudukan selaras dengan semangat musyawarah yang sebenar.
"Setiap jabatan, sekecil mana pun, mesti memastikan setiap anggota terlibat dalam perbincangan. Mesyuarat bukan hanya untuk ketua jabatan atau peringkat tertinggi. Ketua unit juga perlu melibatkan anggota di bawah mereka sehingga ke peringkat rendah," katanya.
Beliau yakin pendekatan tersebut dapat menyemarakkan semangat kerjasama dalam perkhidmatan awam yang kini berjumlah 1.6 juta kakitangan.
"Saya yakin KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) boleh menyediakan kerangka pelaksanaan yang sesuai. Kita mahu musyawarah itu benar-benar bermakna," katanya.
Mengenai kritikan keterlaluan terhadap kerajaan, Anwar berkata beliau tidak terlalu mengambil peduli berhubung perkara itu, tetapi berharap penjawat awam dapat menjelaskan fakta sebenar kepada masyarakat.
"Kalau dengar celoteh-celoteh ekstrem, ada yang kata tidak ada Islam, tidak ada Melayu dalam apa yang kita lakukan selama dua tahun ini. Penjawat awam harus membantu menjelaskan apa sebenarnya yang telah dilaksanakan," katanya.
Comments