Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat teknologi gergasi Microsoft bakal menyuntik pelaburan sejumlah RM10.5 bilion (AS$2.2 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang di Malaysia.
Perdana Menteri (PM) berkata, perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella yang melakukan kunjungan hormat bersama delegasinya di Putrajaya hari ini.
"Pelaburan ini meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan kecerdasan buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia," kata Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah pelaburan itu adalah yang terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.
"Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan ini yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik.
"Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus Kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara," ujarnya.
Dalam pada itu selesai kunjungan hormat tersebut, Perdana Menteri dan Satya kemudiannya menghadiri Forum Kepimpinan AI Nasional di Putrajaya.
"Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan Kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.
"Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya," katanya.
Comments