'Meterai MoU Kerajaan-Pembangkang hadapi perang dagang AS' - Hassan
- Suara Keadilan
- 5 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerjasama politik antara pihak kerajaan dan pembangkang perlu segera diwujudkan demi kepentingan nasional susulan tarif perdagangan dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia baru-baru ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ketika ini bukan masanya untuk parti politik di kedua-dua belah pihak bercakaran sebaliknya menunjukkan kesepakatan menghadapi perang dagang yang semakin memuncak di peringkat global.
Katanya, waktu sekarang adalah kritikal untuk semua tenaga progresif dan patriotik bersatu menyelamatkan ekonomi negara dan sekiranya memorandum kerjasama perlu ditandatangani sebagaimana dilakukan oleh Pakatan Harapan untuk menstabilkan kerajaan seperti pada 2021 lalu, maka ianya wajar dilakukan.
''Jika Memorandum Kerjasama perlu diwujudkan antara kerajaan dan pembangkang, maka ayuh wujudkan dan ditandatangani segera untuk kerjasama tersebut.
''Adalah satu langkah berjiwa besar jika Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan usaha diplomasi menghentikan sengketa politik dalam negeri dan mempelawa blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) dalam kerjasama rentas politik.
''Ia bertujuan untuk mengembleng idea, usaha dan kesatuan dalam tindakan bersama menghadapi ancaman perang tarif yang dilancarkan Presiden (AS) Trump itu,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Hassan menyifatkan, langkah kerajaan mengambil tindakan berhati-hati dan mengutamakan rundingan serta diplomasi dengan pihak berkuasa AS untuk menangani isu tarif perdagangan boleh diterima sebagai langkah munasabah dan pragmatik.
Hal itu kerana katanya, Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan bebas dan bukan sebuah kuasa besar dalam ekonomi di peringkat global.
''Begitu dengan langkah kerajaan mengambil tindakan bersepadu dengan 10 negara anggota ASEAN dalam berhadapan tindakan Presiden Trump, dianggap satu pendekatan yang betul.
''ASEAN adalah sebuah pertubuhan serantau yang dibentuk pada asasnya untuk kerjasama ekonomi.
''Dengan status Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, maka menjadi tanggungjawab Malaysia untuk muncul sebagai jurubicara ASEAN yang berwibawa bagi menghadapi ancaman perang tarif tersebut,'' ujarnya.
Menurut Hassan, untuk menjalani fungsi kepimpinan di peringkat ASEAN, Malaysia perlu mewujudkan suasana politik yang mantap dan bersatu supaya kerajaan dapat menumpukan sepenuh usaha bagi menyelamatkan ekonomi Malaysia dan kepentingan ekonomi negara-negara ASEAN yang lain.
''Saya percaya Kerajaan MADANI tidak boleh bersendiri dalam menangani cabaran ekonomi angkara perang tarif yang diisytiharkan serentak ke seluruh dunia oleh Presiden Trump.
''Memang besar peranan dan tugas PM Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini,'' katanya lagi.
Untuk rekod, selain Malaysia yang dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, negara lain di rantau ASEAN turut terkesan termasuk Kemboja (49 peratus); Laos (48 peratus); Myanmar (45 peratus); Thailand (37 peratus); Indonesia (32 peratus); Brunei (24 peratus); dan Filipina (18 peratus).
Pentadbiran Trump berpendapat, pengenaan tarif penting bagi mengelakkan produk AS kalah bersaing dengan lambakan produk dari luar negara yang lebih murah.
Comments