Mesyuarat MPP Rabu ini bukan mesyuarat tergempar - Fuziah
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN akan mengadakan mesyuarat pada Rabu ini bagi meneliti isu berbangkit mengenai keputusan Pemilihan KEADILAN 2025.
Setiausaha Agungnya Dr Fuziah Salleh ketika mengesahkan perkara itu menjelaskan, mesyuarat yang akan diadakan itu bukan mesyuarat tergempar seperti didakwa sebaliknya dipanggil dengan notis sewajarnya.
"Ada permohonan daripada sejumlah ahli MPP untuk mengadakan mesyuarat bersandarkan peruntukan mengikut Perlembagaan parti.
"(Saya) telah jawab permohonan tersebut dengan memberi notis dan memanggil mesyuarat seperti yang diminta dan presiden juga telah bersetuju.
"Notis tujuh hari sudah diberikan untuk mesyuarat terbabit (diadakan). Cuma bezanya, cara ia dipanggil di atas permintaan ahli MPP dan ini selain dari mesyuarat bulanan biasa," katanya dipetik.
Terdahulu, sebuah portal mendakwa mesyuarat tergempar MPP KEADILAN akan diadakan bagi membincangkan dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan dalaman parti yang sedang berlangsung.
Laporan sama turut menyebut, permohonan itu dibuat lebih 20 ahli MPP dan ia menepati Perlembagaan parti yang menetapkan MPP boleh bersidang dengan permintaan bertulis daripada sekurang-kurangnya satu pertiga ahlinya.
Comments