Malaysia giat mengadakan persiapan menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 tahun hadapan.
Bagi tujuan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan untuk memastikan persiapan rapi dilakukan sebaik menjadi pengerusi ASEAN.
"Berbaki beberapa bulan sebelum Malaysia mengambil alih tugas selaku pengerusi daripada Laos.
"Saya tekankan keperluan untuk setiap kementerian lakukan persediaan yang mantap serta menyeluruh," katanya dalam catatan di Facebook selepas menghadiri mesyuarat semalam.
Tegas Anwar, Malaysia tidak boleh melepaskan peluang menunjukkan keupayaannya sebagai pemimpin unggul di rantau Asia Tenggara.
"Malaysia perlu menjadi peneraju yang hebat dengan pelbagai program yang disusun, harus benar-benar memberi kesan mendalam kepada komuniti ASEAN keseluruhannya," katanya lagi.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjadi pengerusi ASEAN adalah pada 2015 dan kedudukan itu digilirkan dalam kalangan anggota.
Comments