Oleh: Mohd Fauzi Fadzil
ULASAN: Kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UNGA sesi ke-78 telah diisi dengan penyampaian Khutbah Jumaat di Islamic Cultural Center of New York (ICCNY) pada 22 September 2023. Khutbah tersebut membawa mesej yang mendalam berkenaan isu salah faham dalam kalangan masyarakat bukan Muslim di Barat terhadap imej Islam dan usaha dalam kalangan masyarakat muslim untuk menghapuskan Islamophobia.
PMX dalam khutbahnya menggambarkan fenomena Islamophobia yang makin meruncing di dunia Barat sehingga membawa kepada peristiwa penghinaan terhadap kitab suci Al-Quran adalah berpunca daripada kecenderungan ‘clash of ignorance’. Kurang kesedaran bersama terutama dalam kalangan masyarakat bukan Muslim untuk mengenali kepercayaan agama, sejarah dan budaya masyarakat muslim telah menyebabkan wujudnya ketakutan yang tidak rasional terhadap Islam.
Islam dilihat sebagai ancaman
Khutbah PMX juga menggambarkan masyarakat bukan Muslim di Barat melihat Islam dan Muslim secara umum sebagai ancaman eksistensial terhadap hegemoni dan kawalan ketamadunan Barat, keadaan ini menjadi lebih parah apabila budaya dialog yang melibatkan isu silang agama dan budaya dalam kalangan masyarakat Barat semakin pudar.
PMX menekankan keperluan untuk masyarakat Muslim lebih agresif dalam menyebarkan idea kesatuan kemanusiaan dengan harapan persaudaraan sejagat yang telah berakar dalam Islam dapat mengurangkan pengaruh Islamophobia. PMX telah menggariskan 10 pendekatan untuk mempromosikan kesatuan kemanusiaan di dalam khutbah beliau, pendekatan tersebut telah diterjemahkan oleh Kerajaan Madani melalui penyebaran sejuta naskhah al-Quran dalam 30 bahasa berbeza ke seluruh dunia. PMX percaya idea kesatuan kemanusiaan ini mampu memberi manfaat kepada umat Islam dalam bentuk kemajuan sosial dan ekonomi.
Penghormatan besar kepada PMX
Penyampaian mesej kedamaian melalui platform khutbah di New York bukanlah pengalaman kali pertama PMX, sebelum ini beliau telah melakukan perkara yang sama di Masjid Abu Bakar, Adelaide Australia. Penyampaian khutbah tersebut adalah suatu pencapain bersejarah bagi pemimpin Malaysia di mana PMX merupakan pemimpin asing pertama yang diberi penghormatan menyampaikan khutbah di ICCNY sejak ia beroperasi pada tahun 1995
Seluruh rakyat Malaysia menumpang rasa bangga atas perhatian masyarakat dunia terhadap penglibatan PMX di UNGA dan ICCNY. Media antarabangsa ternanti-nanti mesej yang ingin disampaikan oleh PMX, imej PMX yang ditonjolkan sebagai ‘Muslim Democrat’ menjadikan pemimpin-pemimpin dunia Barat tidak keberatan untuk berlapang dada menerima mesej yang disampaikan oleh beliau.
Semoga usaha PMX menyebarkan mesej kedamaian merentasi kelompok agama dan bangsa mampu mencapai matlamatnya, seluruh masyarakat dunia menanti dengan penuh harapan hasil tuaian terhadap usaha tersebut.
* Kredit foto: Afiq Hambali PMO
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Belia Malaysia
Comments