top of page

Merdekakan Institusi Diraja Dari Diremehkan Parti Politik



Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 agar seluruh rakyat mengambil tanggungjawab mengharmonikan dan menyuburkan perpaduan dengan tidak memainkan isu sensitif yang melibatkan kaum, agama dan raja (3R). Titah baginda, institusi raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah yang terkait isu-isu politik sehingga mencetuskan politik kebencian dalam kalangan rakyat.


Teguran Tuanku Sultan tersebut datang tepat pada masanya apabila kebelakangan ini telah beberapa kali institusi raja Melayu diremehkan oleh ahli politik yang biadab, segala perbezaan pendapat adalah diraikan dalam konteks Persekutuan Malaysia namun perlu ada limitasi dalam mewacanakan perbezaan tersebut.


Terdapat beberapa pasak yang telah dipersetujui oleh semua pihak semasa pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, pasak-pasak tersebut (3R) adalah penghujung kepada perbezaan pendapat di dalam Perlembagaan Persekutuan. Pasak-pasak tersebut (3R) tidak sepatutnya disentuh dan dipersoal kerana ia akan menggugat kestabilan dan keharmonian Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.


Institusi raja melangkaui politik


Perbuatan segelintir ahli politik memperkecilkan institusi raja Melayu dalam pemilihan Menteri Besar, mempersoalkan prerogatif perlantikan Perdana Menteri, mempersoal keputusan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh raja Melayu tanpa beralas dan tidak mengendahkan larangan institusi raja untuk ahli politik tidak meneruskan ceramah di masjid adalah sangat ekstrim. Titah teguran oleh raja-raja Melayu dilakukan dengan niat ikhlas yang melangkaui politik (above politics).


Peranan institusi raja Melayu adalah untuk memastikan keharmonian Malaysia terjamin berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui oleh semua pihak. Institusi raja Melayu tidak mempunyai kecenderungan kepada mana-mana pihak dalam memberi teguran. Seharusnya semua pihak menghormati kedudukan dan peranan raja-raja Melayu yang berada di luar perkelahian parti politik.


Tiada manfaatnya kepada mana-mana pihak terutama ahli politik untuk mempersoalkan kedudukan dan kuasa raja-raja Melayu yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tindakan mempersoalkan kuasa dan kedudukan raja-raja Melayu yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan akan membuka ruang untuk mempersoalkan pasak-pasak lain yang telah dikunci rapi di dalam Perlembagaan Persekutuan.


Akhirnya segala konsensus yang telah dipersetujui terpaksa dirungkai kembali. Bukankah perbuatan tersebut akhirnya menggugat kedudukan raja-raja Melayu yang memayungi kita semua?


Ambil tauladan akhlak Anwar


Seharusnya semua pihak mengambil tauladan daripada akhlak dan adab yang ditonjolkan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), beliau telah menunjukkan limitasi dalam berinteraksi dengan isu 3R. Apabila berlaku pertembungan maka PMX berbesar hati untuk akur dan menghormati kedudukan raja-raja Melayu.


Sebagai contoh semasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9, PMX menerima dan menjunjung kasih atas keputusan tersebut walaupun diri beliau tidak terpilih. PMX mengambil maklum bahawa keputusan tersebut dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.


Malah PMX menggesa semua untuk menerima keputusan tersebut dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih agar dapat memenangi semula mandat rakyat. Akhlak dan adab ini adalah contoh teladan untuk kita semua contohi dalam berinteraksi dengan isu 3R. Jangan hanya kerana terbawa-bawa oleh kepentingan politik sehingga adab dan akhlak terhadap raja kita sendiri dikesampingkan.

______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page