Oleh: Akmal Manaf
Banjir yang melanda Bandaraya Kuala Lumpur kelmarin perlu menyelesaian segera bagi mengelakkan hal yang sama berulang sehingga meresahkan warga kotaraya.
Sehubungan itu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pihaknya mengambil beberapa langkah, antaranya memantau keadaan banjir melalui Bilik Gerakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang beroperasi 24 jam seminggu melibatkan 490 petugas dalam mod berjaga-jaga bagi tindakan segera sekiranya terdapat kawasan dinaikki air.
Jelas beliau, antara langkah proaktif lain yang akan adalah melakukan 'desilting' dalam kolam takungan banjir dengan lebih kerap dan membersihkan longkang yang dikenal pasti menyebabkan banjir.
Hal itu, katanya, dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Mesyuarat Khas Bencana Negeri bersama agensi lain semalam bagi persiapan menghadapi situasi banjir pada waktu akan datang.
"Rentetan insiden banjir yang berlaku di Kuala Lumpur kelmarin, saya telah memanggil Mesyuarat Khas Bencana Negeri bagi membincangkan langkah-langkah pencegahan dan pemulihan banjir sebagai inisiatif kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana.
"Dalam mesyuarat itu, saya meneliti taklimat dan laporan yang dibentangkan oleh agensi-agensi yang terlibat khususnya Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan keselamatan masyarakat umum khususnya warga kota Kuala Lumpur yang terdedah kepada risiko banjir adalah terjamin.
"Ingin saya tegaskan bahawa Jabatan Wilayah Persekutuan khususnya DBKL komited untuk mengambil langkah-langkah proaktif dalam merancang dan melaksanakan strategi pengurusan banjir yang berkesan.
"Ia termasuk meningkatkan sistem saliran dan pemantauan cuaca secara berkala. Melalui kolaboratif ini, saya berharap langkah-langkah berkenaan dapat memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua penduduk di ibu kota ketika berlakunya bencana," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama memainkan peranan aktif dalam menghadapi musim banjir.
Ini kerana katanya, keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan berusaha untuk melindungi serta menyelamatkan antara satu sama lain.
"Apabila berlaku bencana banjir, jangan hanya melaporkan dalam media sosial masing-masing demi mengejar 'content viral', tetapi juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa.
"Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepad DBKL serta seluruh agensi-agensi yang turut terlibat dalam pengurusan, pencegahan dan pemulihan pasca-banjir.
"Semoga kerjasama ini dapat memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua penduduk di ibu kota," ujarnya lagi.
Pada 15 Oktober lalu, beberapa kawasan dinaiki air akibat limpahan sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak disebabkan hujan lebat berterusan.
Menurut Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL, kawasan terjejas adalah Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen (Bulatan Dato' Onn) dan Jalan Kinabalu.
Kawasan lain yang terjejas adalah Jalan Maharajalela, Jalan Travers, Jalan Damansara (bawah jejambat Semantan), Jalan Ledang, Jalan Segambut dan Jalan Genting Klang berdepan Shell dan berhadapan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sultan (Petaling Street).
Kejadian itu dilaporkan berpunca daripada taburan hujan yang sangat tinggi iaitu melebihi 60 milimeter (mm) per jam yang mana bacaan hujan di stesen hujan pusat bandar melebihi 114 mm per jam.
Bagi menghadapi situasi banjir seterusnya, warga kota boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana DBKL melalui SMS atau WhatsApp di talian 013-250 3255, atau menghubungi Bilik Gerakan Menara 1 di talian 03-2617 9862.
Comments