
Menteri Wakaf Republik Arab Mesir Syeikh Dr Usamah As-Sayyid Ahmed Muhammad Al-Azhary menyatakan sokongan penuh kepada konsep MADANI yang diperkenal Kerajaan Perpaduan.
Perkara itu dikongsikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebooknya susulan kunjungan hormat Syeikh Dr Usamah ke atasnya pada Isnin.
"Syeikh Dr Usamah menyatakan dukungan penuh terhadap konsep MADANI yang berkait rapat dengan asas peradaban Islam dan sejarahnya yang mengakar dalam wacana ilmiah dan siasah Islam kontemporari.
"Mesir bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam penganjuran konvensyen dan seminar pengukuhan Malaysia MADANI dari perspektif peradaban Islam melibatkan para ulamak, pemikir dan sarjana Islam," katanya dipetik.
Mengulas lanjut pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, kedua-dua mereka berkongsi pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama Malaysia-Mesir susulan pertemuan dengan Presiden Abdel Fattah El-Sisi baru-baru ini.
Selain itu, Kementerian Wakaf Mesir bersetuju memberi dukungan bagi pelaksanaan program pembangunan insan dalam kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir selaras usaha melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
"Moga hubungan erat Malaysia-Mesir bertambah kukuh, termasuk menerusi peranan Universiti Al-Azhar dalam memperkasakan peradaban Islam dan kecemerlangan watan pada masa akan datang," katanya.
Comments