Menteri mahu polis siasat individu didakwa hina Nabi Muhammad
- Suara Keadilan
- Mar 20
- 1 min read

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak berkompromi terhadap sebarang perbuatan menghina agama.
Tegasnya, tindakan tersebut bukan sahaja mencabuli prinsip keharmonian dan perpaduan negara tetapi juga boleh mengundang akibat yang sangat serius kepada keamanan dan ketenteraman awam.
"Saya ingin memberi amaran dengan tegas bahawa sebarang kenyataan atau tindakan yang menyentuh sensitiviti agama lain akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi oleh pihak penguatkuasa.
"Tiada ruang untuk sebarang bentuk kebencian atau provokasi agama di negara ini. Kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menimbulkan perpecahan atau ketegangan antara kaum dan agama," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu menyusul isu tular mengenai individu bernama Khor Soon Keat, yang dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi hantaran di media sosial.
Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak boleh diterima, beliau mahu Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut.
Sementara itu tambahnya, setiap individu di negara ini wajib menghormati dan menjaga sensitiviti agama masing-masing kerana Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama dan budaya.
"Setiap warganegara Malaysia wajib faham, hormat dan terima kepelbagaian yang ada.
"Marilah kita semua hidup dalam suasana yang penuh hormat dan saling memahami, demi menjaga keamanan dan keharmonian negara yang kita cintai ini," kata Aaron.
תגובות