Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan bahawa Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sama seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media khas mengenai Pindaan tersebut di kementeriannya pada Selasa berkata, Akta 342 hanya boleh digunakan secara khusus bagi tujuan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.
"Ramai salah faham dan mengatakan akta ini memberi lebih kuasa kepada Kementerian Kesihatan (KKM) atau Pegawai Diberi Kuasa (PDK).
"Akta 342 ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. PDK hanya diberi kuasa untuk menyiasat dan mendapatkan maklumat lanjut pesakit.
"Berlainan dengan SOSMA, ia adalah undang-undang Malaysia yang membenarkan pihak berkuasa menahan individu tanpa bicara hingga 28 hari jika disyaki terlibat dalam ancaman keselamatan, seperti keganasan," katanya dipetik.
Mengulas lanjut mengenai pindaan tersebut, Dr Dzulkefly berkata ia mempunyai satu tujuan yang jelas untuk mengatasi kelompongan dalam kerangka perundangan sedia ada.
Langkah itu sebagai memperkukuhkan kesiapsiagaan serta tindak balas negara dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit yang baharu muncul, muncul semula (re-emerging) atau pandemik dengan lebih berkesan demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.
"PDK boleh mengeluarkan arahan kepada individu dijangkiti atau disyaki dijangkiti bagi menjalani pangasingan atau pengawasan.
"Tetapi dalam masa yang sama, PDK ini juga boleh meminta bantuan daripada pihak polis atau unit beruniform yang lain untuk membolehkan pelaksanaan pengawalan dan pencegahan penyakit berjangkit di bawah Seksyen 5 dalam Akta 342," katanya lagi.
Comentarios