Netizen yang tidak memahami tugas utama Kementerian Ekonomi sejak kebelakangan ini sering mempertikaikan kementerian terbabit kononnya sengaja menumpang sukses kementerian lain dalam merancang atau melaksanakan projek.
Bagi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, penyokong atau laskar siber pembangkang perlu membuat sedikit penyelidikan sebelum mengkritik.
Katanya, antara tugas utama Kementerian Ekonomi adalah menyediakan bajet pembangunan sesuatu projek sejak perancangan sehinggalah pelaksanaannya. Maka, katanya, tentulah Menteri akan hadir sewaktu pelancaran projek.
"Kementerian Ekonomi adalah salah satu dari agensi pusat (selain Kementerian Kewangan) yang bertanggungjawab menilai dan meluluskan permohonan dari kementerian-kementerian lain untuk melaksanakan projek.
"Kementerian Ekonomi bertanggungjawab menguruskan belanja pembangunan.
"(Misalnya) jika Kementerian Pengangkutan ingin menaiktaraf sistem pengangkutan awam, yang sudah tentu melibatkan berbilion ringgit, tetapi perancangan dan permohonan itu ditolak oleh Kementerian Ekonomi, maka sampai bila-bila perkara itu tidak akan berlaku," kata Rafizi dalam satu siaran media.
Oleh sebab itu, katanya, lebih daripada satu kementerian disenaraikan dalam poster projek dan sewaktu pelancaran atau sidang media maka lebih daripada seorang Menteri hadir, sekiranya membabitkan projek besar.
"Sebab itu, usaha menaiktaraf pengangkutan awam memerlukan kedua-dua kementerian bergerak seiringan, supaya perancangan peruntukan kerajaan oleh Kementerian Ekonomi mengambil kira keperluan pelaburan projek-projek pengangkutan awam yang akan dikendalikan oleh Kementerian Pengangkutan," katanya lagi.
Sehubungan itu Rafizi menasihatkan netizen atau laskar siber pembangkang agar melakukan lebih banyak kajian dan pembacaan sebelum menghentam Menteri kerajaan.
Comments