
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengarahkan aspek keselamatan di semua stesen tren dikaji semula dan dipertingkatkan.
Arahan itu susulan kemalangan yang membabitkan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) maut dilanggar tren LRT selepas terjatuh dari landasan Stesen LRT Titiwangsa pada Sabtu.
Bagi mengelakkan kejadian berulang, Anthony Loke memaklumkan Prasarana akan mengambil beberapa langkah termasuk pemasangan kamera litar tertutup pintar yang berupaya mengesan perilaku berisiko akan dipasang di stesen.
"Bagi jangka masa panjang pula, Prasarana dalam perancangan untuk memasang Platform Screen Doors (PSD) di kesemua laluan LRT sebagai usaha memperkukuh keselamatan penumpang," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu mayat seorang lelaki kurang upaya penglihatan ditemui di bawah landasan semalam, dipercayai mangsa terjatuh di kawasan rel kereta api sebelum dilanggar sebuah kereta api yang melintasi kawasan tersebut.
Susulan itu perkhidmatan tren di beberapa stesen digantung sementara, dan perkhidmatan bas perantara percuma diaktifkan sebagai langkah keselamatan.
Mengulas mengenai kemalangan itu Anthony Loke berkata, semua pihak berkaitan terutama Prasarana Malaysia Bhd sedang bekerjasama dalam siasatan terperinci.
Beliau turut menasihatkan penumpang yang memerlukan bantuan tambahan, termasuk golongan OKU agar menghubungi kakitangan Prasarana atau Polis Bantuan di stesen bagi memastikan keperluan dan keselamatan mereka diberi perhatian sewajarnya.
Comments