
Kritikan ulama dan pemuda Pas berhubung cadangan mewujudkan jawatan Menteri Agama Bukan Islam sama ada di dalam dan luar parlimen tidak sewajarnya berlaku.
Menurut Ahli Parlimen Bayan baru, Sim Tze Tzin, posisi Menteri Agama Bukan Islam tersebut hanyalah cadangan yang boleh dibincangkan secara terbuka dan tidak perlu dibantah keras, apatah lagi kononnya agenda parti tertentu komponen Kerajaan Perpaduan untuk merealisasikan Malaysian Malaysia.
Bagi Tze Tzin, Pas begitu cepat melupakan sejarah kerana parti itu juga pernah bersetuju dengan posisi yang berfungsi hampir sama diwujudkan dalam kerajaan Selangor sewaktu Pas sebahagian daripada Kerajaan Negeri pada 2008 - 2018 lalu.
"Pada tahun 2009, apabila Pas menganggotai Kerajaan Selangor, mereka menubuhkan Portfolio Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS).
"Ada Exco (jawatan Menteri peringkat negeri) yang memegang portfolio tersebut.
"Parti Pas menganggotai kerajaan Selangor selama 10 tahun. Portfolio Agama bukan Islam tidak pernah menjadi isu," kata Tze Tzin dalam satu kenyataan.
Tegas Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia itu, selari dengan kewujudan jawatankuasa berkenaan, agama Islam terus dimartabat dan berkembang di Selangor tanpa masalah. Juga tidak pula kelihatan agenda Malaysian Malaysia menguasai Kerajaan Negeri biarpun DAP merupakan komponen penting di Selangor.
"Agama Islam terus dimartabatkan di negeri Selangor. Hal ehwal agama bukan Islam diberi hak seperti termaktub dalam perlembagaan negeri. Kenapa sekarang menjadi isu?
"Pas buat boleh, orang lain buat tak boleh. Adakah ini satu hipokrasi?" tanyanya.
Semalam, Dewan Ulama Pas menyelar cadangan seorang ahli parlimen DAP supaya diwujudkan posisi menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam.
Ketuanya, Ahmad Yahaya berkata, cadangan tersebut mencerminkan kepincangan pemahaman prinsip Perlembagaan dalam kalangan pemimpin DAP, dan seolah-olah membenarkan usaha terancang untuk meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, sama rata dengan agama-agama lain di Malaysia.
Namun dengan melihat hal hampir serupa dipersetujui oleh Pas sedekad sebelumnya sewaktu memerintah Selangor maka banyak pihak tertanya tanya mengenai sikap Pas yang menentang keras cadangan berkenaan.
Comments