
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh mengingatkan peniaga santan supaya bersikap jujur kepada pelanggan.
Menyedari permintaan santan segar bakal meningkat ketika musim perayaan beliau berkata, adalah tidak wajar untuk peniaga mengambil kesempatan mencampurkan perahan santan segar dengan bahan lain semata-mata untuk mengaut keuntungan.
"Kita tiada mekanisme dalam mengukur berapa banyak air, berapa banyak santan yang dicampur berbanding mengukur berapa banyak beras import dan berapa beras tempatan itu dicampur, itu bolehlah diukur.
"Jadi memang sukar hendak kita ukur, bagaimanapun jika perkara berkenaan benar berlaku, pengguna boleh melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kita akan lakukan siasatan," katanya kepada pemberita.
Fuziah sebelumnya mengadakan tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 yang turut dihadiri Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan di sebuah pasar raya di Nilai pada Isnin.
Beliau sementara itu turut mengingatkan peniaga makanan berasaskan santan seperti lemang supaya tidak menjual produk itu pada harga terlampau tinggi sehingga membebankan pengguna.
"Sekiranya peniaga menyatakan alasan harga lemang yang dijual mahal disebabkan harga santan meningkat, maknanya mereka melakukan kesalahan berkaitan pencatutan dan boleh diambil tindakan di bawah Akta 723.
"Walaupun harga lemang berbeza-beza mengikut saiz dan lokasi, peniaga sewajarnya menjual pada harga berpatutan. KPDN tidak mengawal harga lemang tetapi kita akan pantau, janganlah naik harga yang melampau, biarlah berpatutan," katanya.
Menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) tahun ini, KPDN menyenarikan santan sebagai satu daripada 26 barang kawalan
Harga maksimum santan ketika ini ditetapkan pada RM17.50 sekilogram di Semenanjung.
Kommentare