
Harga barangan asas didapati terkawal menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal disambut minggu hadapan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasil positif itu berikutan usaha dilakukan Kerajaan MADANI terutama oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
"Mesyuarat Jemaah Menteri dimulakan dengan ucapan tahniah Perdana Menteri kepada KPDN dan KPKM, atas kejayaan memastikan perkara berkaitan pengawalan harga barang asas, terutama menjelang sambutan Aidilfitri adalah terkawal.
"Kita juga melihat ada peranan dimainkan oleh pemain industri yang memberi kerjasama kepada KPDN serta KPKM (dalam memastikan harga barangan asas terkawal)
"Ada dalam kalangan menteri yang menyatakan harga telur pun turun menjelang Aidilfitri di sesetengah tempat. Jadi, ini adalah petanda agak positif untuk orang ramai," katanya dipetik pada sidang media pascamesyuarat Kabinet, di Putrajaya pada Rabu.
Sementara itu Fahmi turut memaklumkan bahawa bekalan beras putih tempatan (BPT) juga sudah mula diagihkan ke pelbagai lokasi.
Bagaimanapun jelasnya, KPKM terus giat mengenal pasti lokasi belum memperoleh bekalan terbabit.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi turut menyarankan rakyat dapat memanfaatkan aplikasi 'Price Catcher' untuk mengenal pasti lokasi menjual produk dan barangan asas pada harga berpatutan.
"Kita boleh membuat perbandingan harga produk sama bagi premis yang berbeza. Jadi, manfaatkan aplikasi ini," katanya.
Comments