top of page

Mengutuk Politik Murahan Bersifat Perkauman



Oleh: Khalid Abd Samad


ULASAN: Parti Amanah Negara (AMANAH) ingin menyatakan betapa kecewanya kami terhadap corak politik murahan bersifat perkauman yang diamalkan oleh pihak pembangkang kebelakangan ini. Sangat jelas bahawa pembangkang sedia ada tidak mampu memainkan peranan yang membina demi kepentingan negara dan rakyat, dan sebaliknya telah membuktikan berkali-kali bahawa mereka adalah pembangkang yang tiada idea dan tidak mampu membawa manfaat kepada negara.


Sambil Perdana Menteri berusaha membina hubungan rapat antara Malaysia dan negara-negara luar, termasuk China, pembangkang menimbulkan isu-isu kebencian dan kesangsian melalui peristiwa bendera China yang dikibarkan semasa satu persembahan kebudayaan yang diadakan di negara kita.


Sedangkan pada persembahan itu bukan hanya bendera China sahaja yang dikibarkan. Sangat mengecewakan apabila, demi menghasilkan berita sensasi dan menonjolkan diri sebagai ‘hero’ bangsa Melayu, isu sedemikian rupa diputar-belit demi menanam kebencian dan kesangsian terhadap rakyat sendiri dan negara China.


Sedangkan kebanyakan rakyat negara kaum Cina, sepertimana juga bangsa-bangsa yang lain, adalah rakyat yang setia dan menyumbang kepada pembangunan negara. Begitu juga negara China adalah sebuah negara yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan yang sihat dan aktif dengan Malaysia dan tidak wajar digambarkan sebagai berniat jahat terhadap Malaysia.


Sambil kerajaan berusaha membina hubungan yang baik dengan negara-negara lain, dan berperanan mencorakkan suasana geopolitik yang lebih baik, termasuk melalui penyertaan bersama dengan BRICS, pembangkang sedia ada hanya mampu menyumbang kesangsian, perpecahan dan kerosakan. Amat malang apabila mendakwa berjuang atas nama Islam, tetapi hanya sikap dan perangai perosak mampu dihayati dan dipamerkan.


Pembangkang ‘clueless’ atau langsung tidak faham terhadap perubahan politik antarabangsa yang bakal berlaku. Oleh itu mereka tidak faham peranan yang membina yang seharusnya dimainkan oleh mereka dan hanya mampu memikirkan cara dan gaya untuk mendapat imej ‘sensasi’ di arena politik negara. Walaupun tindakan dan kata-kata mereka boleh merosakkan hubungan antara Malaysia dan negara negara lain, khususnya negara China, mereka sama ada tidak faham atau tidak peduli.


Rayuan kepada pemimpin politik


Memandangkan hakikat bahawa Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan sedang membina hubungan yang semakin kukuh di antara Malaysia dan China, dalam bidang diplomatik, ekonomi dan kebudayaan, adalah diharapkan usaha-usaha ini tidak dijejaskan melalui sikap dan pendirian politik yang sempit dan berkepentingan.


Malaysia merupakan negara berbilang kaum, bangsa, agama dan kebudayaan. Kepelbagaian ini merupakan kelebihan dan kekuatan yang wajar dihargai dan dipertahankan. Hubungan baik antara semua kaum di Malaysia membantu membina hubungan baik di antara Malaysia dan negara-negara luar atas sebab sikap saling menghormati yang dihayati dan diamalkan.


Jangan, demi mendapat sokongan politik murahan, kelebihan ini digugat dan dikorbankan.


Oleh itu diharapkan semua pemimpin politik akan menyumbang secara positif ke arah pengukuhan hubungan Malaysia dan negara-negara lain, termasuk negara China, dan hentikan semua bentuk politiking murahan dan tidak bermaruah supaya usaha-usaha ke arah pengukuhan ini tidak terjejas.


Rayuan kepada media


Walaupun difahami berita sensasi mendapat perhatian ramai, adalah diharapkan pihak media bertindak secara bertanggungjawab dan melaporkan berita secara tepat dengan tujuan membina negara secara positif, bukan berita andaian dan sangkaan buruk yang mampu merosakkan negara.


Pihak media bertanggungjawab untuk mencorakkan perpaduan dan persefahaman di antara kaum di negara ini dan oleh itu perlu meletakkan semua peristiwa dalam konteksnya yang tepat tanpa mempolitikkan berita demi menjadikannya lebih sensasi dan kontroversi.


Media mesti bersifat bertanggungjawab dan berperanan secara konstruktif berusaha membantu membina perpaduan dan persefahaman di dalam dan luar negara.


Rayuan kepada kedua-dua Kerajaan


Kami merayu kepada Kerajaan Malaysia dan China untuk terus mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama diplomatik di antara kedua-dua negara dan jangan membenarkan hiruk-piruk hasil kebodohan dan kejahilan serta kepentingan parti dan kelompok mengganggu usaha-usaha yang mulia ini.


Hubungan antara kedua-dua negara dibina atas semangat saling menghormati kedaulatan, kebudayaan dan rakyat negara masing-masing. Biarlah semua memahami bahawa pengibaran bendera negara masing-masing semasa mana-mana persembahan kebudayaan adalah dilakukan atas semangat persahabatan dan kerjasama dan bukan atas keinginan mencabar kedaulatan mana-mana negara.


Kenyataan bersama mengenai peristiwa ini oleh kedua-dua negara yang menegaskan prinsip menghormati kedaulatan negara dan keinginan mengukuhkan hubungan diplomatik boleh membantu menidakkan segala propaganda negatif yang ingin disampaikan.


Hormati hasil siasatan polis


Akhirnya, AMANAH ingin mengucapkan tahniah kepada pihak polis yang telah melakukan siasatan terhadap peristiwa ini secara segera dan profesional. Siasatan mereka telah membuktikan bahawa kedaulatan negara tidak sama sekali terjejas dan segala undang-undang telah dipatuhi dan dihormati.


Dengan selesainya siasatan ini maka semua pihak perlu meredakan keadaan dan menganggap isu ini selesai. Menimbulkan kembali isu ini hanya merupakan usaha politiking murahan yang perlu dikutuk rakyat.


Malaysia negara kepelbagaian


Malaysia sebuah negara yang bangga dengan kepelbagaiannya. Kita tidak boleh membenarkan usaha putar-belit dan politiking kumpulan berkepentingan yang terdesak untuk merosakkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian yang mencorakkan negara dan masyarakat kita.


Begitu juga hubungan baik antara negara kita dan negara China yang kita hargai. Kita perlu terus maju atas prinsip saling menghormati dan hubungan diplomatik yang inginkan kedamaian dan kemakmuran.


Kami merayu semua pihak, ahli politik, media dan kedua-dua Kerajaan, untuk terus berhikmah tidak gelojoh atau beremosi supaya perpaduan dan budaya hormat menghormati akan terus mencorakkan interaksi di kalangan kita.


Melalui ini isu-isu yang disensasikan akan dapat ditangani dengan mudah sambil kerjasama antara Malaysia dan China akan terus semakin dikukuhkan.

_____________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page