Oleh: Abdullah Zaid
Generasi muda diseru untuk mempunyai nilai dan idealisme sebagai pewaris pimpinan negara dalam membawa perubahan kepada diri sendiri dan masyarakat.
Penganalisis politik, Hasmi Hashim berkata, anak muda seharusnya mencontohi mantan Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali sebagai ahli politik yang idealis dan disifatkan ‘orang pergerakan’.
Menurutnya, gelaran orang pergerakan itu merujuk kepada ahli politik yang mempunyai prinsip, idealisme selain berpengetahuan tinggi dalam bidang sosiologi.
"Anak muda kena faham perjuangan mesti berasaskan kepada prinsip, tetapi kita juga faham anak muda ini tidak mahu pergerakan mereka diikat. Sebaliknya mereka mahu pergerakan yang bersifat longgar, namun jangan sampai anak muda terjerumus ke protes 'kucing liar' (wild cat protest).
"Sebab akhir-akhir ini ada kemunculan kelompok yang mahu wujudkan gerakan tetapi tidak ada apa-apa asas ideologi, hanya gosip politik termasuklah isu BlackRock yang tidak jelas isunya.
"Jadi kita tidak mahu anak-anak muda ditarik kepada dalam kelompok wild cat protest sebab itu kita perlu adakan majlis dan diskusi seperti ini berasaskan pemikiran," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Orang Pergerakan dan perbincangan buku “Dua Wajah” sempena mengingati Allahyarham Dr Syed Husin Ali, malam tadi.
Program anjuran Penggerak Belia Selangor (PeBS) itu turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor Muhammad Izuan Kasim.
Jelasnya, anak muda ketika ini perlu memaknai perjuangan idealisme supaya arah tujuan masa depan negara lebih selamat dan terjamin.
"Masa depan pergerakan ini bergantung kepada generasi sekarang untuk menentukannya sebelum ia berakhir," ujarnya.
Comentários