Oleh: Noraini Nordin
CATATAN PAGI BULAN MERDEKA: Apabila melihat masih ramai generasi muda KEADILAN yang punya sifat mengenang jasa pejuang-pejuang parti yang telah pergi, penulis merasa lega serta turut berbangga.
Sifat bijak mengenang budi pejuang-pejuang parti adalah usaha murni yang perlu diteruskan secara konsisten dengan pelbagai cara. Sama ada dalam bentuk program, tulisan atau sebagainya.
Catatan penulis pagi ini adalah berkaitan dengan tokoh besar KEADILAN iaitu Allahyarham Dr Syed Husin Ali atau lebih mesra digelar Pak Syed Husin Ali.
Legasi Pak Syed Husin meluas
Legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Pak Syed Husin amat besar serta luas bukan sahaja dalam akademik, malah sebagai tokoh besar dalam lapangan sains sosial, penulis dan pemikir bersama Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Usman Awang, terutama peranan mereka dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).
Pak Syed Husin yang juga bekas Timbalan Presiden KEADILAN, tokoh akademik dan salah seorang bekas tahanan politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) meninggal dunia pada usia 88 tahun di awal pagi 29 Jun lalu.
Sebelum itu, beliau terkenal sebagai Presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia, yang kemudiannya dijenamakan semula kepada Parti Rakyat Malaysia (PRM) selepas parti itu menggugurkan ideologi sosialisnya.
Allahyarham juga adalah pengasas utama KEADILAN apabila membawa PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) lalu membentuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Nama Parti Keadilan Rakyat itu kekal sehingga kini.
Guru dan murid
Ketika Pak Syed Husin menjadi pensyarah di Universiti Malaya (UM) Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) merupakan salah seorang pelajarnya di universiti berkenaan.
Semasa bertugas sebagai ahli akademik di UM, arwah telah menghasilkan pelbagai penulisan ilmiah berkisar sosiologi dan politik Malaysia dengan menumpukan kepada soal kemiskinan dan penyelesaiannya.
Bukunya "Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya" dianggap sebagai karya rujukan klasik mengenai topik tersebut.
Kisah perjalanan hidupnya dalam "Dua Wajah" yang menceritakan pengalamannya sebagai tahanan tanpa bicara di bawah ISA, dengan jelas memberikan gambaran terperinci tentang bagaimana pihak berkuasa di masa lampau cuba melawan pengkritik kerajaan dengan menggunakan pelbagai taktik ugutan.
Allahyarham turut menceritakan bagaimana ketika dalam penjara, pihak berkuasa cuba menabur fitnah mengenai isterinya Sabariah Abdullah, yang teguh berdiri di belakangnya sehingga akhir hayatnya.
Isterinya kemudian meninggal dunia pada tahun 2013.
Tahanan ISA
Pak Syed Husin sentiasa menegaskan bahawa penahanannya dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah bermotifkan politik dan beliau mangsa perebutan kuasa dalam UMNO.
Ketika Anwar terlibat dalam demonstrasi pelajar pada tahun 1970-an, beliau adalah salah seorang pelajar Syed Husin.
Di ketika usianya kian meningkat dan keadaan kesihatan pula tidak mengizinkan, Syed Husin tidak lagi aktif dalam politik semasa tetapi kekal sebagai penyokong setia Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehingga ke akhir hayat.
Ertinya, dengan KEADILAN kini berjaya mengetuai kerajaan dan Anwar sudah memegang jawatan Perdana Menteri, sebahagian daripada penyumbang kejayaan itu ialah Pak Syed Husin.
Ketika berperanan sebagai Timbalan Presiden KEADILAN (2003 hingga 2010), Syed Husin tidak dinafikan banyak memainkan peranan ke arah mengembang dan mengukuhkan parti.
Sebab itu, Anwar begitu tersentuh dan terharu dengan pemergian Syed Husin.
Dalam catatan di Facebooknya, Anwar mencoretkan satu tulisan khas sebagai tribute kepada gurunya itu.
Antaranya, Anwar menulis - “Masih saya ingat dalam banyak sesi kuliah dan syarahannya saat menuntut di Universiti Malaya yang sarat dengan kebijaksanaan yang berselirat dengan mesej yang mengajak untuk menegakkan keyakinan, dan itu juga bermaksud untuk bersikap kritikal, mempersoal status quo dan mendambakan sebuah sistem bermasyarakat—yakni sebuah tatanan—yang adil dan saksama.
“Sosok Syed Husin berjuang sekerasnya untuk nasib mereka yang miskin, melarat dan tertindas, sambil mempertaruhkan jiwanya dalam mendepani permasalahan kemiskinan dan perjuangan kaum tani seperti Hamid Tuah dan juga nasib kaum buruh di Selangor pada sekitar 1960an.
“Dia berdiri tegak di situ, di barisan paling hadapan, terutamanya dalam mendukung perjuangan warga di bandar-bandar, petani di Baling, serta mahasiswa yang berjuang dalam mengangkat kepentingan rakyat.
“Legasi yang ditinggalkan sosok kecil ini ternyata tidak kecil, dan ia berlanjut melebihi dewan dan gedung-gedung akademik.
“Sebagai tokoh besar dalam lapangan sains sosial, penulis dan pemikir, dia telah meninggalkan khazanah pengetahuan yang sangat besar dan meluas tatkala beliau berkongsi keghairahannya itu dengan Tongkat Warrant (Usman Awang) di dasawarsa-dasawarsa lampau, dan ia terbukti melalui peranannya sebagai Presiden PENA.
“Keterlibatannya di jalur politik progresif sebagai Presiden Partai Rakyat Malaysia (PRM) dari 1990-2003, dan kemudian sebagai pengasas bersama serta Timbalan Presiden Partai Keadilan Rakyat (KEADILAN) lantas memperkukuh penjiwaannya kepada prinsip keadilan dan dalam membentuk serta mencorak sebuah Malaysia yang lebih baik.
“Penghargaan setingginya buat Pak Syed kerana menjadi sosok guru yang luarbiasa hebat, mentor dan juga sahabat.
“Semangat juangnya akan terus menyemarak di banyak sanubari, dan legasi besarnya itu akan terus mengemudi arah dan masa depan bangsa.
“Semoga Allah SWT melimpahkan belas kasihNya yang tidak terhingga ke atas ruh Pak Syed, Insya-Allah.”
Akhirnya marilah kita anggota parti ini sentiasa mengenang dan mengingati jasa Allahyarham Pak Syed Husin, sambil sekerap mungkin menyedekahkan Al-Fatihah dengan doa, semoga rohnya sentiasa dalam peliharaan dan kasih sayang Allah s.w.t.
________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments