
Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak menegaskan bahawa parti itu dan DAP merupakan parti nasional dan bukannya parti Malaya atau parti Semenanjung.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak, Chiew Choon Man, pihaknya mengutuk sekeras-keras kenyataan ahli politik negeri itu yang menolak parti dari Semenanjung.
Katanya, sebarang percubaan untuk menyemai benih perpecahan dalam kalangan rakyat Sarawak dengan mengeksploitasi isu politik identiti sama sekali tidak boleh ditoleransi.
"Kami merujuk kepada kenyataan (pemimpin) Parti Bumi Kenyalang (PBK) baru-baru ini yang menggesa Kerajaan Negeri meminda Perlembagaan Sarawak untuk melarang parti politik dari Semenanjung Malaysia khususnya KEADILAN dan DAP daripada bertanding dalam pilihan raya negeri dan parlimen.
"Mengehadkan penyertaan pilihanraya adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi dan hanya akan menjerumus kepada perpecahan.
"Retorik yang menjenamakan KEADILAN dan DAP sebagai 'parti Semenanjung' dan membayangkan bahawa kami 'mengambil' kerusi Sarawak adalah tidak berasas, berniat jahat, dan hanya bertujuan untuk memupuk kebencian.
"Sama seperti parti berasaskan kaum atau agama, ia tidak lebih daripada taktik memecah belahkan yang menunggang sentimen rakyat Sarawak dan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang melibatkan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Miri itu berkata, KEADILAN dan DAP juga mempunyai cawangan di seluruh negara, malah ahli dan pemimpin di Sarawak merupakan rakyat tempatan yang tulen.
Katanya, ramai rakyat Sarawak dalam KEADILAN dan DAP telah berada di barisan hadapan dalam menggesa peruntukan yang lebih besar, dasar yang saksama, dan pembangunan mampan untuk negeri Bumi Kenyalang.
"Kami percaya rakyat sudah cukup bijak untuk memutuskan parti atau calon mana yang paling mewakili kepentingan mereka.
"Politik haruslah mengenai persaingan sihat berdasarkan idea, dasar dan keupayaan, dan bukannya tentang 'mencipta halangan' atau mencetuskan prasangka.
"Cukuplah politik identiti yang menunggang kebencian dan memecah belahkan rakyat... mari kita tumpu kepada cara membangunkan wilayah, sekali gus mendapatkan lebih banyak dana bagi golongan yang memerlukan, dan melaksanakan dasar yang meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak," ujarnya lagi.
Justeru beliau menyeru semua rakyat Sarawak agar menolak politik perpecahan dan kebencian dan berganding bahu menegakkan semangat demokrasi demi memastikan negeri tercinta terus dihidang dengan idea baharu, kepimpinan inklusif, dan perkongsian yang membina.
Semalam, Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan berkata, Dewan Undangan Negeri Sarawak seharusnya meminda Perlembagaan bagi menghalang parti dari Malaya meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri itu.
Comments