Kritikan yang dilemparkan ke atas Perdana Menteri (PM) Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bertemu pemimpin sayap politik Hamas, Ismail Haniyeh oleh sesetengah media dan ahli politik Barat amat tidak adil.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pertemuan Anwar - Ismail tidak perlu dipersoalkan kerana pemimpin Malaysia juga tidak mempersoalkan hak Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sebelumnya bertemu PM Israel, Benjamin Nantenyahu yang ternyata telah melancarkan serangan memusnah kediaman dan membunuh rakyat Palestin.
"PM Anwar Ibrahim berhak menemui pemimpin Hamas di Qatar.
"Jika Presiden AS Joe Biden boleh menemui Benjamin Nantenyahu, Perdana Menteri Israel yang telah bertanggungjawab membunuh lebih 35,000 orang rakyat Palestin di Gaza maka mengapa Anwar, Perdana Menteri Malaysia tidak boleh bertemu dengan Ismail Haniyeh pemimpin Hamas yang menentang penjajahan Zionis Israel?" soal Hassan dalam kenyataannya.
Kelmarin dalam lawatan rasmi ke Qatar, Anwar meluangkan waktu bertemu Ismail Haniyeh pemimpin sayap politik Hamas yang beroperasi di negara itu.
Dalam pertemuan berkenaan, Anwar menyatakan Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah dan pembunuhan beramai ramai (genosid) yang sedang dilakukan rejim Israel.
Malaysia juga, katanya, menghargai perkembangan terbaharu berikutan kesediaan Hamas membebaskan tahanan, khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC, dan masyarakat antarabangsa.
Comentarios