Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, Manivanan Gowin menyelar Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang mencadangkan penubuhan Sekolah Keluarga Malaysia untuk memupuk perpaduan pelbagai kaum di Malaysia.
Katanya, cadangan Ahli Parlimen Kinabatangan itu seolah-olah menyembunyikan semua malapetaka lain yang sedang menggugat perpaduan di negara ini.
"Elemen-elemen seperti rasis, prinsip 'divide and rule', ketidakseimbangan bantuan kebajikan dan ekonomi, ancaman perkauman dan penghinaan agama tidak dibangkitkan sama sekali.
"Ahli Parlimen Kinabatangan dan kerajaan persekutuan Barisan Nasional serta sekutunya wajib mengetahui bahawa, masyarakat India dan Cina menghargai perpaduan.
"Rakyat Malaysia, yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, Orang Asal serta suku kaum di Sabah dan Sarawak sememangnya menghormati satu sama lain," katanya.
Beliau sebaliknya menyifatkan, yang merosakkan perpaduan ialah ahli politik yang memerlukan elemen-elemen negatif agar terus berkuasa.
"Setiap kali berbicara mengenai perpaduan, ahli politik perlu merujuk kepada sekolah vernakular. Mengapa? Setiap kali berbicara mengenai perpaduan, idea yang diutarakan adalah idea untuk mengorbankan identiti masyarakat India dan Cina. Mengapa? Setiap kali berbicara mengenai perpaduan, kerajaan dan sekutunya gagal mengamalkan sikap keterbukaan dan inklusif. Mengapa?
"Setiap kali berbicara mengenai perpaduan, pimpinan kerajaan dan sekutunya seolah-olah ketandusan idea untuk memupuk semangat perpaduan yang sebenar. Mengapa?
"Cerminkan diri sendiri. Perpaduan bermula dari diri kita sendiri. Sebagai pemimpin lontarkan idea yang bernas dan rasional supaya diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengguris hati mereka," katanya.
Beliau mencadangkan beberapa langkah-langkah yang wajar dilaksanakan untuk memupuk perpaduan di negara ini.
1. Menggubal Akta Perpaduan dan Keharmonian Negara
Kini, untuk memastikan perpaduan dan keharmonian rakyat, kita bergantung kepada serpihan beberapa Akta Parlimen iaitu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan subseksyen 41 Akta Hasutan 1948 (Akta 15). Peruntukan undang - undang ini tidak memadai.
"Kita memerlukan Akta yang inklusif, jelas dan terang untuk memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
2. Menggubal Akta Toleransi Agama
Untuk memastikan tiada sesiapa menggunakan agama sebagai satu instrumen untuk mengugat perpaduan dan memecahbelahkan kita, seharusnya kita memperkenalkan Akta Toleransi Agama.
"Akta yang direka ini wajar mempunyai semangat perpaduan dan memupuk keharmonian dengan menghormati agama lain. Ianya juga selaras dan sejajar dengan ajaran semua agama di dunia, iaitu menghormati agama lain.
3. Polisi atau Dasar Kesaksamaan dan Kesamarataan
Perpaduan hanya boleh dibentuk sekiranya rakyat yakin dan percaya terhadap sesuatu polisi atau dasar.
"Polisi tersebut wajar menitikberat dan merangkumi semua lapisan masyarakat. Rakyat Malaysia, walaupun berbeza dari segi agama dan kaum, tetapi itu hanya perbezaan identiti dan kepercayaan.
"Kami tetap sama dari sudut warganegara dan kesetiaan kepada negara. Kesaksamaan dan Kesamarataan dalam polisi - polisi kemanusiaan, kebajikan, ekonomi, peluang pekerjaan, sukan dan pendidikan WAJIB diutamakan.
4. Memimpin Negara Dengan Konsep Perpaduan
Segala polisi yang diluluskan di negara ini berkait rapat dengan prinsip 'divide and rule'. Mentadbir secara 'pecah dan perintah'. Naluri insan yang jujur terhadap perpaduan, tidak akan menggunakan prinsip sebegini. Keluarga Malaysia umpama menanam tebu di bibir mulut kerana ianya disusun dan dikarang berpandukan prinsip 'divide and rule' dan bukannya prinsip perpaduan.
"Terdapat pelbagai lagi idea yang boleh dipertengahkan agar perpaduan di negara ini pada tahap yang memberangsangkan. Namun, sikap tidak jujur dan tidak ikhlas serta ketamakan kuasa menjadi batu penghalang," katanya.
Kesimpulannya, katanya, isu-isu seperti sekolah, bahasa, pakaian, perayaan dan rumah ibadat merupakan fakta berkait rapat dengan identiti di negara ini.
"Malaysia digelar berbilang kaum kerana keunikan dan perbezaan identiti ini.
"Sewajarnya, sekiranya ikhlas dan jujur untuk memupuk perpaduan, jangan bersikap retorik, dan mengulangi perkara yang sama berpuluh-puluh tahun.
"Perpaduan bukan terletak diperkarangan sekolah vernakular sahaja, ianya sangat luas. Perpaduan dan semangat perpaduan mampu dibentuk melalui Akta, polisi, dasar dan konsep pemerintahan yang ikhlas dan jujur serta akan menjadi realiti, jika dilaksanakan dengan sesungguhnya," katanya.
Commentaires