Oleh: Dr Madhi Hasan
ULASAN: Buat kali yang entah keberapa, cerita panas tentang pertukaran kerajaan akhirnya kehabisan stim. Premier Sarawak menyatakan dengan tepat sekali bahawa kerja untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan hanyalah membuang masa. Bagi beliau, hanya orang ‘paloi’ atau bodoh sahaja yang boleh terjebak ke dalamnya.
Sebagai seorang yang pernah mengkaji tentang subjek ini, saya ingin menunjukkan betapa naifnya untuk mempercayai bahawa Kerajaan Madani boleh tumbang dengan mudah. Berdasarkan sejarah, ada beberapa prasyarat yang diperlukan untuk menjayakan pertukaran kerajaan melalui kaedah pintu belakang (atau tebuk atap):
Syarat yang pertama, pihak yang ingin menumbangkan mestilah mempunyai kuasa dan sumber kewangan yang lebih besar berbanding pihak yang ingin ditumbangkan. Pada tahun 2008, Projek 16 September oleh Pakatan Rakyat (gabungan KEADILAN, Pas dan DAP) untuk mengambil alih kerajaan pusat telah gagal menjadi kenyataan.
Ini kerana Pakatan Rakyat, walaupun sudah menguasai lima buah negeri, masih tidak berupaya menyaingi segala kelebihan yang dimiliki Barisan Nasional sebagai parti pemerintah. Sebaliknya, ‘Rampasan Kuasa Perak’ pada tahun 2009 dapat direalisasikan kerana Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tidak mampu berdepan dengan segenap kekuatan yang dimanfaatkan oleh kerajaan Barisan Nasional.
Kuasa parti pemerintah jauh lebih besar
Adakah perancang Langkah Dubai yakin bahawa mereka boleh mengatasi kuasa tawar-menawar yang dimiliki oleh parti pemerintah? Hakikatnya, apa yang pembangkang mampu tawarkan hanyalah janji-janji manis semata-mata. Mungkin mereka mendapat semangat baharu dengan sokongan dua orang tokoh besar yang memiliki kekayaan peribadi dan anak-anak. Namun begitu, transaksi jual beli wakil rakyat tidaklah mudah dilaksanakan oleh pihak pembangkang kerana kerajaan menguasai badan penguatkuasa yang mampu menghalangnya.
Syarat yang kedua ialah faktor Istana. Perancang Langkah Dubai mungkin terdesak untuk membuat percubaan terakhir sebelum berlakunya peralihan kuasa di Istana Negara. Melantik Perdana Menteri urusannya mudah kerana ia adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Perkara yang lebih sukar ialah melucutkan jawatan seseorang Perdana Menteri dalam keadaan status sokongan majoriti kepadanya dipertikaikan.
Nizar Jamaluddin pernah dilucutkan jawatan Menteri Besar oleh Sultan Perak tanpa melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Walaupun akhirnya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan, keputusan itu telah mencetuskan krisis politik dan Perlembagaan serta mencalar imej Istana.
Oleh itu, bukanlah mudah bagi Yang di-Pertuan Agong melucutkan jawatan seseorang Perdana Menteri tanpa melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Keabsahannya akan sentiasa dipertikaikan dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini di peringkat Persekutuan.
Tidak masuk akal bagi Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan kontroversi yang akan menjerumuskan negara kepada krisis politik pada hari-hari terakhir pemerintahannya. Kalau benar pembangkang ada angka yang cukup, bawalah usul undi tidak percaya ke Dewan Rakyat. Itulah cara yang paling absah dan akan memelihara kemuliaan Yang di-Pertuan Agong daripada sepak terajang permainan politik.
Perlukan calon PM yang diterima semua parti
Syarat yang ketiga, mestilah ada calon Perdana Menteri yang jelas dan berwibawa untuk menggantikan penyandang. Bakal Perdana Menteri tersebut akan berhadapan tugas yang berat untuk memimpin satu kerajaan campuran yang boleh tumbang bila-bila masa. Jika calon itu tidak berkemampuan, beliau tidak akan mampu bertahan lama. Lihat sahajalah apa yang berlaku kepada dua orang Perdana Menteri yang lahir daripada tebuk atap iaitu Perdana Menteri kelapan dan kesembilan.
Dalam desas-desus Langkah Dubai, siapakah sebenarnya calon Perdana Menteri yang ditampilkan? Hakikatnya, mereka tiada calon yang jelas sehingga terpaksa menyebutkan pelbagai nama untuk menggantikan Anwar Ibrahim. Itu sahaja sudah menggambarkan betapa rapuhnya kerajaan campuran yang akan terbentuk jika ditakdirkan ia menjadi kenyataan.
Akta Anti Lompat Parti halangan besar
Walau apapun, halangan terbesar untuk menukar kerajaan melalui pintu belakang ialah undang-undang anti lompat parti yang berkuatkuasa sejak tahun 2022. Undang-undang tersebut adalah gamechanger (pengubah permainan) yang dibuat bagi menghalang permainan golongan elit politik untuk menukar kerajaan mengikut nafsu mereka.
Mengikut undang-undang tersebut, Ahli Parlimen yang melompat parti akan kehilangan kerusi Parlimen yang disandangnya. Jika dia tidak mengisytiharkan keluar parti tetapi ingkar dengan keputusan parti, dia boleh dipecat. Bagi parti yang sudah meminda perlembagaannya seperti UMNO, pemecatan itu akan menyebabkan Ahli Parlimen tersebut hilang kerusi. Keberkesanan undang-undang ini telah terbukti selepas PRU-15 yang lalu. Muhyiddin Yassin gagal menjadi Perdana Menteri apabila sebahagian Ahli-ahli Parlimen kecut perut dengan undang-undang anti-lompat parti.
Dalam sejarah negara, sebenarnya belum pernah ada mana-mana Perdana Menteri yang berjaya dilucutkan jawatannya melalui gerakan pintu belakang oleh pembangkang. Dalam Langkah Sheraton pada tahun 2020, Tun Mahathir bukanlah ditumbangkan oleh pembangkang atau sesiapapun.
Beliau sendiri yang menumbangkan kerajaannya dengan meletak jawatan Perdana Menteri. Sekiranya mahu, sebagai Perdana Menteri beliau boleh sahaja menghalang kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Bagaimanapun, perkiraan utama baginya ialah untuk menghalang Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selepasnya.
Tukar kerajaan sekadar perang psikologi
Akhirnya, segala hiruk-pikuk di media sosial tentang pertukaran kerajaan pada masa ini hanyalah kempen perang psikologi yang dikitar semula berkali-kali. Para Tiktoker dan Youtuber memerlukan cerita-cerita hangat untuk memastikan sumber pendapatan mereka tidak terputus.
Parti pembangkang seperti BERSATU terpaksa terus mengalunkan lagu tukar kerajaan bagi mengekang lebih ramai Ahli Parlimennya daripada menyokong Perdana Menteri. Yang menjadi mangsa ialah penyokong-penyokong pembangkang yang telah berkali-kali diperbodohkan dengan ilusi pertukaran kerajaan.
Sama ada benar-benar wujud atau hanya perang saraf, Langkah Dubai atau apa-apa gerakan untuk menjatuhkan kerajaan tanpa pilihanraya adalah memudaratkan. Ia adalah aksi sabotaj yang memberi kesan buruk kepada kestabilan politik dan ekonomi. Jalan untuk mencapainya pula dipenuhi dengan amalan rasuah, khianat dan hipokrasi yang dikutuk oleh agama.
Undang-undang anti-lompat parti yang bertujuan untuk menghalang episod pengkhianatan dan tebuk atap seolah-olah tidak bermakna. Walhal undang-undang itu disokong oleh semua parti politik ketika ia diluluskan di Parlimen. Sudah sampai masanya Kerajaan Madani membuat reformasi dalam sistem demokrasi berparlimen bagi menoktahkan ketagihan tebuk atap demi masa depan negara dan rakyat.
_________________________________________________________________________________
Dr Madhi Hasan ialah Pengerusi Madani Research Centre.
Comments