top of page

Mencapai Persefahaman Untuk Reformasi dan Kestabilan

Updated: Aug 28, 2021


Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad & Chang Lih Kang


ULASAN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu telah hadir memenuhi jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Ia bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika proses pemilihan Perdana Menteri yang baharu agar semua pihak dan parti-parti politik menurunkan suhu politik ketika kita sedang berhadapan dengan krisis kesihatan, pendidikan dan ekonomi di negara ini.


Ini bukanlah persoalan kerajaan perpaduan.


Sebaliknya ia terarah pada persefahaman asas untuk kestabilan badan eksekutif dan pertukaran reformasi untuk badan legislatif setelah PH mendesak kerajaan untuk melakukan peningkatan radikal dalam strategi memerangi Covid-19, perbelanjaan fiskal yang lebih besar yang memfokuskan pada pekerja serta perusahaan kecil dan sederhana.


Kenapa PH tolak tawaran Mahiaddin


Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Mahiaddin Yassin juga membuat tawaran kepada pembangkang; tetapi ia ditolak oleh kepimpinan PH.


Apa bezanya kali ini?


Mahiaddin memiliki masa yang panjang sebelum ini untuk berunding dengan pembangkang tetapi beliau bukan sahaja tidak melakukannya, beliau sanggup menangguhkan persidangan Parlimen, menggantung Parlimen dengan darurat dan seterusnya kerajaannya telah mengelirukan Parlimen tentang pembatalan darurat.


Ringkasnya, tawaran Mahiaddin dibuat oleh kerajaan yang sudah hilang majoriti, tidak bertanggungjawab dan mencari dahan untuk bertahan; Ismail Sabri adalah Perdana Menteri baharu dengan majoriti yang sah (walaupun kecil).


Kuncinya adalah melampaui pendekatan jual-beli atau tawar-menawar terhadap politik. Oleh itu, kita mesti berfikir di luar kotak dan meletakkan matlamat untuk sesuatu yang lebih besar.


Malaysia, suka atau tidak, memerlukan reformasi yang lebih mendasar, termasuk Parlimennya untuk memastikan bahawa peranannya sebagai suara rakyat dan proses semak dan imbang yang berkesan kepada Eksekutif dapat dipulihkan.


Kami juga yakin bahawa peralihan ini akan menyumbang kepada respons nasional yang lebih berjaya khususnya terhadap wabak dan kebangkitan semula ekonomi negara.


Reformasi sistem


Kerajaan harus memberikan komitmen dan segera melakukan reformasi besar bagi Parlimen termasuk kebangkitan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen untuk menjadikan badan perundangan benar-benar bebas dari eksekutif dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang lebih seimbang dan berfungsi dengan lebih baik.


Pada masa yang sama, kerajaan harus membuat penambahbaikan semula secara radikal Suruhanjaya Pilihan Raya dan pelaksanaan Undi18 segera.


Harus ada jaminan pembaharuan ini akan dilaksanakan berdasarkan persefahaman tersebut, tanpa ada kemungkinan berlakunya perselisihan atau keraguan untuk memperolehi jaminan agar pembangkang tidak melakukan Undi Tidak Percaya terhadap kerajaan.


Ini bukan sahaja akan memberikan kestabilan dan membantu mempermudahkan fasa pemulihan Malaysia dari Covid-19 serta pemulihan ekonominya, tetapi juga memastikan bahawa pembaharuan yang lama diperlukan terhadap demokrasi kita dapat dilakukan tanpa halangan. Kestabilan tanpa pembaharuan tidak akan bermakna.


Dari segi langkah seterusnya, perbincangan jawatankuasa kerja harus diselesaikan setelah pelantikan barisan Kabinet baharu diumumkan.


Pada setiap ketika, kepentingan terbaik rakyat harus menjadi matlamat tertinggi kita.

__________________________________________________________________________________


Chang Lih Kang ialah Naib Presiden KEADILAN dan Ahli Parlimen Tanjong Malim manakala Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN dan Ahli Parlimen Setiawangsa.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page