Oleh: Andre Lai
ULASAN: Setiap tahun 5 haribulan 5 dalam kalendar Cina, masyarakat Cina sedunia akan menyambut Hari Duan Wu yang juga dikenali sebagai Dumpling Festival dan Dragon Boat Festival. Pada tahun ini perayaan Duanwu jatuh pada 3 Jun 2022. Terdapat banyak variasi asal-usul perayaan ini tetapi secara amnya perayaan berdasarkan pengorbanan Qu Yuan, seorang ahli penyair yang berkhidmat untuk maharaja pada dinasti Zhou.
Tempoh tersebut merupakan era peperangan antara negeri-negeri purba, di mana Qu berkhidmat sebagai penasihat kepada keluarga diraja Negeri Chu. Maharaja masa itu, demi mendapatkan kejayaan cepat memutuskan untuk membuat pakatan sekutu dengan musuh dan mendapat tentangan hebat daripada Qu. Qu dikecam sebagai pengkhianat dan dibuang negeri. Pakatan antara kerajaan berterusan sehingga negerinya dikhianat dan ditawan oleh rakan sekutu.
Akibatnya, Qu berasa sedih dan memutuskan untuk mengakhiri hidupnya dengan terjun ke dalam sungai. Penduduk setempat bergegas untuk cuba mendapatkan semulanya mayat dengan mengayuh bot dengan laju. Apabila Qu Yuan tidak ditemui, penduduk cuba membuat nasi pulut ke dalam sungai agar ikan tidak memakan mayatnya. Ia kemudiannya menjadi asal usul Dragon Boat Festival atau Dumpling Festival, di mana nasi pulut (dumpling) dijadikan juadah utama dalam hari perayaan ini.
Menyerupai landskap politik Malaysia
Cerita pengorbanan Qu Yuan disampaikan secara turun-temurun sehingga menjadikan satu hari perayaan yang paling penting dalam kebudayaan masyarakat Cina. Dongeng atau tidak, kiasan cerita ini adalah menyerupai landskap politik negara hari ini.
Menjelang PRU yang bakal dijalankan dalam masa beberapa bulan ini (mengikut ramalan Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli), terdapat banyak usaha daripada pemimpin tertentu untuk membuat gabungan parti-parti politik pembangkang, dalam istilah seperti gagasan politik atau khemah besar.
Kaedah pergabungan ini bertujuan untuk memastikan tentangan padu terhadap pihak lawan, iaitu Barisan Nasional dalam PRU 15. Dalam pemilihan baru-baru ini, Khemah Besar dijadikan isu hangat dalam kalangan calon-calon dan ahli-ahli akar umbi. Malah, wujud perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin utama PH dan blok pembangkang mengenai konsep gabungan.
Khemah besar solusi jangka pendek
Pakatan Harapan diwujudkan dengan persefahaman bekas sekutu Pakatan Rakyat (KEADILAN dan DAP), dengan parti baharu AMANAH dan BERSATU sebelum PRU 14. Tidak terlintas dalam minda, Pakatan Harapan (PH) berjaya menumpaskan Barisan Nasional dalam pilihan raya yang paling bersejarah ini. Namun ia mampu bertahan selama 22 bulan dan Kerajaan Perikatan Nasional wujud dengan bekas sekutu PH dan Barisan Nasional.
Langkah populis ini menunjukkan penggabungan tanpa titik persamaan hanya satu jalan pintas untuk solusi jangka pendek. Hasilnya amat ketara, kerajaan bertukar tangan sebanyak 3 kali dalam masa 2 tahun. Kepincangan dalam konsep ini juga sekali gus menghakiskan kepercayaan dalam kalangan rakyat apabila Malaysia masih lagi berdepan dengan kegawatan pasca-Covid 19.
Gabungan rapuh diyakini rakyat
Sejarah telah menunjukkan gabungan seumpama ini rapuh dan sukar untuk diyakini. Kegagalan para pemimpin berperisaikan ego yang kuat dan kegagalan mencari titik persamaan memberi gambaran jelas kepada rakyat, bahawa ia tidak akan mendapatkan hasil positif.
Pemilihan KEADILAN telah berakhir (kecuali di peringkat pimpinan pusat). KEADILAN kini harus bersedia untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum mengejut tidak lama lagi. Segala sengketa terdahulu wajar disingkirkan dan wujudkan kembali semangat jati diri yang tinggi dalam parti serta PH, sepertimana semangat patriotik kita terhadap negara.
Asal usul perayaan Duanwu jadikan satu pedoman. KEADILAN harus proaktif dalam mendapatkan apa jua formula memenangkan peperangan dengan menumbangkan musuh. Apa jua jalan penyelesaian, yang pastinya, berjinak-jinak dengan musuh bukanlah formula yang tepat.
Saya dan anda, tidak perlu menjadi Qu Yuan.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju untuk penggal 2022-2025.
Comments