Oleh: Noraini Nordin
SOROTAN PRK DUN MAHKOTA: Kemenangan calon BN yang disokong oleh Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota semalam merupakan pencapaian manis menuju masa hadapan yang lebih cemerlang.
Hal ini adalah bukti Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin diterima rakyat dan tiada keraguan lagi untuk terus dipertahankan menerajui negara.
Dalam keputusan semalam, calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah diisytiharkan menang dengan majoriti besar iaitu 20,648 undi.
Beliau memperolehi 29,995 undi menewaskan pencabarnya, Mohamad Haizan Jaafar daripada PN yang mendapat 7,347 undi.
Dalam PRN Johor sebelum ini, calon BN Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi melalui pertandingan empat penjuru.
Bermakna, majoriti kemenangan BN dalam PRK kali ini meningkat hampir empat kali ganda jika dibandingkan keputusan PRN lalu.
Majoriti besar
Sudah tentu prestasi lebih baik dengan majoriti kemenangan lebih besar diperolehi oleh BN pada PRK kali ini disumbangkan oleh semua pasukan dan jentera Kerajaan Madani yang sama-sama bertungkus lumus dalam tempoh kempen selama dua minggu lalu.
Segala penat lelah dan pelbagai ranjau yang dilalui sepanjang kempen seolah-olah telah terbayar dengan kemenangan majoriti besar.
Selain kemenangan itu juga memperlihatkan penerimaan rakyat yang kian jitu terhadap Kerajaan Perpaduan. Ia juga merupakan petunjuk bahawa kerjasama parti-parti sedia ada yang membentuk kerajaan seharusnya dikekalkan menuju perjuangan masa depan.
Untuk itu, PH dan BN harus lebih mengukuhkan kerjasama serta dalam masa sama mestilah cuba meminimakan persengketaan sesama sendiri.
Sebarang perbalahan, terutama melibatkan UMNO dan DAP perlu diselesaikan secara dalaman.
Tidak usah lagi mencuci 'kain kotor' di khalayak ramai kerana mereka kini sama-sama ada tanggungjawab bersama dalam kerajaan untuk membela rakyat.
Jika ianya dapat dilakukan, tidak ada sebab calon Kerajaan Perpaduan tidak boleh terus menikmati kejayaan dalam siri PRK seterusnya, malah mempertahankan kedudukan dalam Pilihan Raya Umum ke 16 pun sudah nampak jalan yang lebih terang.
Terbukti gabungan PH-BN terpaling diterima rakyat.
Tahniah Syed Hussein, selamat bertugas dengan cemerlang. Tahniah pengundi DUN Mahkota. Kalian pengundi yang bijak.
Tahniah kepada semua jentera. Terus maju mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang diterajui PMX.
_____________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Yorumlar