Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus memperkasakan agenda bagi memudahcara perniagaan meskipun negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan peningkatan kecepatan kelulusan pembangunan.
Perdana Menteri menegaskan jentera Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu meningkatkan kepantasan memberi kelulusan tanpa mengabaikan peraturan sedia ada bagi menarik kemasukan pelabur ke negara ini.
"Meski negara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif dan peningkatan dari segi kecepatan kelulusan pembangunan, saya tekankan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memperkasa agenda bagi memudahcara perniagaan.
"Justeru itu, semua pihak membabitkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan harus meningkatkan kepantasan memberi kelulusan tanpa berkompromi dengan peraturan berkuatkuasa bagi menjadikan Malaysia tumpuan para pelabur dalam rantau ini," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-45 yang dipengerusikannya di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat tersebut merupakan platform perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa dan guna tanah negara.
"Mesyuarat hari ini juga telah membincangkan mekanisme kawalan dan pengurusan bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam mengimbangi pulangan ekonomi serta mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar selain tidak mengganggu kawasan hutan simpan.
"Insya-Allah, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik," ujarnya.
Comments