Tindakan Pas mempolitikkan isu sambutan Krismas oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diterajui pemimpin DAP, Nga Kor Ming menunjukkan sikap parti itu yang cenderung untuk melemahkan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, mempolitikkan hal seperti sambutan Krismas sambil mengabaikan realiti kepelbagaian budaya Malaysia menunjukkan niat sebenar Pas mewujudkan ketidakharmonian dan ketakutan dalam kalangan rakyat.
Katanya, dakwaan Pas kononnya kakitangan awam beragama Islam menyanyikan lagu Krismas dalam sambutan yang diadakan KPKT tidak disertakan bukti, sedangkan Nga Kor Ming telah menjelaskan peserta sambutan tersebut adalah penganut Kristian dari Sarawak.
"Ini menimbulkan persoalan adakah Pas memiliki bukti kukuh untuk menyokong dakwaan mereka atau adakah ini satu lagi percubaan untuk memecah-belahkan pandangan umum?
"Setiap tahun, kontroversi sengaja dicetuskan berhubung ucapan perayaan seperti “Selamat Hari Krismas,” dengan pihak seperti Pas menggambarkannya sebagai ancaman kepada prinsip agama.
"Perkara ini melemahkan semangat sebenar keharmonian perayaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Syerleena lagi, lagu-lagu seperti “Jingle Bells” dan “Deck the Halls” yang dinyanyikan untuk meraikan kegembiraan musim perayaan – tiada beza dengan ucapan “Gong Xi Fa Cai” semasa Tahun Baru Cina atau “Rasa Sayang” - dalam acara budaya lain turut menjadi bahan politik saban tahun.
Dengan melabelkan lagu-lagu berkenaan sebagai pelanggaran agama, pembangkang menunjukkan betapa kurangnya pemahaman tentang warisan pelbagai budaya di Malaysia.
Bagi Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Pusat itu, kenyataan Nga Kor Ming telah menegaskan satu kebenaran penting iaitu kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaiannya.
Sarawak, dengan tradisi keharmonian antara agama yang lama terjalin, adalah lambang perpaduan yang mendefinisikan berbilang kaum di negara ini.
"Sambutan Krismas oleh kakitangan Kristian tidak sepatutnya dilihat sebagai kontroversi, sebaliknya sebagai pengukuhan kebebasan beragama – asas utama dalam Perlembagaan kita.
"Namun, Pas terus meniup api perpecahan. Di peringkat nasional, tindakan sedemikian menghalang kemajuan kita ke arah saling memahami dan hidup bersama.
"Daripada menyatukan rakyat, retorik Pas menanamkan rasa syak dan meminggirkan nilai toleransi serta hormat yang menjadi teras di Malaysia," katanya lagi.
Syerleena menegaskan corak mengapi-apikan ketegangan agama bukanlah sesuatu yang baru bagi Pas. Pada tahun 2021, pemimpin Pas tertentu membantah hiasan bertemakan Krismas di ruang awam dan mendakwa ianya “mengancam prinsip Islam.”
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar rakyat Malaysia mencabar naratif yang memecah-belahkan dari pembangkang, menuntut bukti kukuh bagi setiap tuduhan, dan berdiri teguh pada prinsip perpaduan serta keharmonian yang telah lama memacu Malaysia ke hadapan.
Comments