Oleh: Abdullah Zaid
Filem ‘Memoir Seorang Guru’ yang sarat dengan cabaran dan pengorbanan seorang pendidik berjaya meruntun hati penonton dalam Program Tayangan Khas anjuran DUN Pelabuhan Klang malam tadi.
Menyifatkan filem itu sebagai wajib tonton, Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar yang turut sama dalam program itu berkata, filem hasil sentuhan anak tempatan itu bakal menjadi inspirasi kepada masyarakat menghargai sumbangan para pendidik negara.
"Sebagai seorang penuntun ilmu setiap saat dan kesempatan yang ada perlulah kita hargai pengorbanan guru kepada kita.
"Kerana kerja kita untuk mendapatkan ilmu daripada seorang guru adalah tugas sepanjang hayat," katanya semasa merasmikan Program Tayangan Khas Memoir Seorang Guru Dun Pelabuhan Klang tersebut.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri yang juga penganjur program berkenaan menyifatkan filem tersebut sebagai karya yang cukup meninggalkan kesan buat dirinya.
Susulan itu, katanya, filem berkenaan membawa inspirasi kepada beliau untuk menganjurkan program berkenaan yang dilihat mampu menarik ramai khalayak kerana menyentuh perjuangan seorang guru dalam mendidik anak bangsa.
"Saya sudah menonton filem ini dan terdetik untuk mengajak masyarakat menonton karya ini bagi mendedahkan cabaran menjadi seorang guru dalam mendidik kita.
"Oleh itu, saya berharap tayangan ini akan memberi inspirasi kepada kita semua tentang pentingnya insan bernama guru kerana itu kita perlu tnjukan rasa hormat dan sayang kepada insan yang telah banyak menyumbang jasa kepada kita.
"Sama-sama kita hargai kepada semua para guru yang telah menabur bakti kepada kita," ujarnya.
Untuk rekod, anjuran program berkenaan juga melibatkan 35 buah sekolah di DUN berkenaan.
Filem 'Memoir Seorang Guru' yang diterbitkan menggunakan Dana Kandungan Digital (DKD) menampilkan pelakon seperti Datuk Rosyam Nor, Nabila Huda, Johan As'ari, Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Jesse Lim, Trisha Ooi, Kiky Hannah, Danish Zamri, Baqir Jamalullail, Hafiy Al Tamis, Dhiyaa Raidah dan Rafique Iskandar.
Filem berkenaan mengisahkan Sunan lakonan Rosyam Nor, iaitu guru panas baran berusia 40-an yang ditukarkan untuk mengajar di sebuah sekolah di kawasan pedalaman.
Sunan yang juga seorang duda kematian isteri membawa bersama anak perempuannya, Kamariah untuk belajar di sekolah berkenaan.
Lebih mencabar guru besar sekolah itu memberinya tugas menjadi guru kelas di kelas paling corot. Tugas utama beliau memastikan kelasnya mencatat keputusan UPSR lebih baik berbanding sebelumnya.
Setakat ini, filem arahan Kyoll Hamzah itu meraih kutipan sebanyak RM350,000 dalam tempoh mula ditayangkan.
Comments