top of page

Membangun Usahawan Madani: Pengemblengan Tekad dan Sinergi Bersama



Oleh: Mustaffa Kamil Ayub (Pengerusi INSKEN)


Sesungguhnya Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sebagai suatu entiti di bawah naungan Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertekad untuk menggerakkan semaraknya semangat dan ekosistem keusahawanan, melakar ke tahap global namun berakar lokal. Ini dapat dilakukan dengan mengukuhkan ekosistem pembangunan usahawan, kolaborasi pelbagai pihak, meningkatkan daya tahan dan daya saing usahawan serta menjadi pemangkin ekonomi manusiawi negara.


Wawasan pembangunan negara terkini atas nama Malaysia Madani sesungguhnya menghimbau kepada suatu penghayatan nilai yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Ia semestinya diterjemahkan dalam ekosistem keusahawanan semasa.


Bagi menyahut wawasan negara, INSKEN menjadikan moto Membangun Usahawan Madani sebagai idea pendorong (guiding ideas) membangunkan usahawan.


Sejumlah gerakerja baharu seumpama Kempen Saya Usahawan Madani (SAMA), pembinaan rangkaian bisnes antarabangsa, Anugerah Perdana Usahawan Madani dan pengukuhan alumni INSKEN sedang diusahakan, disamping kemaskini program sedia ada.


Budaya kerja INSKEN yang menekankan elemen sinergi, kolaborasi, itqan, kepemimpinan berhikmah (wise leadership), minda madani, keusahawanan suatu ibadah akan terus dimantapkan.


"Penduduk desa gigih bertani,

Di tepi bendang menjamu selera,

INSKEN Membangun Usahawan MADANI,

Demi menyahut wawasan Negara".


Maksud Usahawan Madani


Boleh dikatakan usahawan Madani adalah usahawan yang menghayati dan menterjemah 6 tunggak Malaysia Madani dalam praktik keusahawanannya.


Contohnya dengan nilai ihsan, usahawan yang menghayatinya akan mengelakkan rasuah, riba, penyelewengan dan pembaziran kerana sentiasa merasakan Allah SWT memerhatikannya. Juga dengan nilai ihsan, semangatnya sentiasa mahu membantu orang lain dalam berkongsi rezeki atau berkongsi Ilmu keusahawanan.


Ini selaras dengan hasrat YAB PM Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan usahawan Malaysia berdaya tahan, berdaya juang dan berdaya saing. Manakala YBM Datuk Ewon Benedict menegaskan keperluan INSKEN melatih sekurang-kurang 10,000 orang rakyat Malaysia setahun dalam program keusahawanan.



Pelan tindakan INSKEN


Dalam meningkatkan lagi peranannya Membangun Usahawan Madani, INSKEN akan mempertingkatkan koloborasi bersama pelbagai pihak. Koloborasi juga bermaksud sinergi yang memberikan impak lebih baik.


Pengerusi INSKEN, Tn Hj Mustaffa Kamil Ayub

Langkah mewujudkan usahawan perpaduan Madani juga adalah suatu penghayatan nilai Madani. Langkah ini menampilkan suatu pengemblengan usahawan Melayu dan pelbagai bangsa di Malaysia.


Dalam dunia persaingan kini, kita sesungguhnya perlu melahirkan usahawan dengan "world standard". Usahawan yang punya daya tahan, daya kreativiti dan berwawasan global.


Penjenamaan (branding) dan ketampakan (visibility) INSKEN perlu terus dimantapkan dalam meletakkannya sebagai institusi pilihan menggilap professionalisme keusahawanan.


Sokongan seluruh pemegang taruh, kakitangan INSKEN maupun KUSKOP dan Kerajaan Madani serta rakyat keseluruhannya adalah prasyarat kejayaan yang perlu digarap bersama. Hal ini akan terus dipertingkatkan bagi mewujudkan dukungan seutuhnya Membangun Masyarakat Usahawan Madani Malaysia.


Langkah-langkah yang diambil ini laksana "connecting the pillars, form the frame".


Cabaran semasa memupuk budaya keusahawanan


Cabaran semasa dalam memupuk budaya keusahawanan di kalangan masyarakat antaranya termasuklah kurangnya atau tiadanya galakan ibu bapa. Terutama di kalangan Melayu dan Bumiputera, hal ini ada kaitan dengan pengalaman lalu yang pahit serta situasi yang tidak kondusif malahan peminggiran sebelumnya.


Salah satu kursus pengembangan bakat belia anjuran INSKEN

Kurangnya ilmu, semangat serta pengalaman keusahawanan juga adalah suatu cabaran sebenarnya. Ini juga ada kaitan dengan ekosistem yang ada pada masa lalu.


Meningkatkan daya tahan, daya juang dan daya saing usahawan juga adalah suatu proses yang mesti terus dimantapkan. Proses ini pasti memerlukan kekuatan dalaman, spiritual dan keagamaan.


Ekosistem yang subur dalam mewujudkan Usahawan Madani masih belum mantap. Usaha mewujudkan ekosistem yang subur ini, dengan pelbagai langkahnya mestilah dilakukan.


Kempen "Saya Usahawan Madani INSKEN" adalah antara lainnya bagi menangani cabaran ini.


Paradok ekuiti Bumiputera


Pandangan mengenai wujudnya pelbagai agensi yang terbabit dalam keusahawanan, namun realitinya ekuiti Bumiputera masih rendah adalah suatu hakikat yang perlu ditangani. Pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) tersasar daripada 30% dan hanya mencapai 23%. Ia tambah menyedihkan kerana di Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 mendapati ekuiti Bumiputra menurun kepada 17%. Hakikat ini mesti ditangani.


Penghasilan profesional lepasan pengajian pelbagai peringkat terus meningkat dan ini suatu yang positif. Namun cabarannya adalah dalam konteks pewujudan ekosistem Masyarakat Usahawan Madani.


Cabaran menguasai ilmu pelaburan yang bijak dan tepat, serta ilmu dan skil pengurusan harta yang baik adalah suatu kemestian sebagai prasyarat kejayaan terutamanya bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera.


Meningkatkan daya tahan, daya juang dan daya saing dikalangan Melayu dan Bumiputera terutamanya adalah suatu kemestian juga.


Justeru, pewujudan Majlis Keusahawanan Madani di peringkat Negara bagi menyelaraskan kira-kira 66 agensi terbabit dalam mewujudkan ekosistem Membangun Masyarakat Usahawan Madani perlu dilakukan.


Ia akan menjadi antaranya sebagai "One stop agency" dalam membantu bakal dan para usahawan semasa dalam pelbagai aspek.


Harapan dan impak


Kita semua mempunyai harapan bersama Membangun Usahawan Madani yang memberi impak kepada penghayatan Ekonomi Manusiawi dan Madani sebagaimana seruan Kerajaan Madani semasa.


Kursus bimbingan usahawan di INSKEN

Ini termasuklah melonggarkan syarat memulakan perniagaan terutamanya pasca Covid 19.


Skim "start up micro credit" Usahawan Madani dengan cadangan RM 2,500 dan fokus kepada kelompok asnaf, OKU, belia, ibu dan bapa tunggal.


Di samping ekosistem perkembangan sektor PMKS dan korporat dimantapkan, Gerakan Koperasi mestilah disemarakkan. Gerakan Koperasi serta ekosistemnya wajar dibangunkan seluas mungkin, berdaya tahan dan berdaya saing. Pembangunan keusahawanan melalui koperasi juga mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi.


Manakala pemasaran online dan ekonomi digital sebagai suatu realiti semasa digarap secara positif dan selektif.


Demikian juga kemudiannya, pasaran antarabangsa juga perlu menjadi garapan Usahawan Madani.


Seruan Al Quran, Ar Raad:11, "Allah tidak akan mengubah Nasib sesuatu kaum, kecuali mereka mengubahnya" seharusnya menghimbau Usahawan Madani.


Presiden Korea Selatan pada tahun 1970an sewaktu Almarhum Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri dalam lawatannya terlihat khat Ar Raad di Bilik Gerakan Negara. Lantas sekembalinya beliau dari Korea terus melancarkan Gerakan "Semaul Undung". Dua dekad berikutnya, barangan Korea benar-benar menguasai pasaran antarabangsa.


Penutup


Sinergi semua pihak, usaha dan langkah yang tepat serta doa dan tawakal kepada Allah SWT adalah prasyarat kejayaan bersama Membangun Masyarakat Usahawan Madani.


Khusus buat usahawan, tanamkan tekad terus cemerlang dengan terus belajar mempertingkan penghayatan perjuangan keusahawanan. Belajar dari buaian ke liang lahat, Minal Mahdi ilal lahdi, from cradle to grave yard, Hou Tao Lao Xue taoi Lao, kalvi pirapu muthal yirapu varai.


Bersama kita Membangun Masyarakat Usahawan Madani.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page