top of page

Membangun Usahawan Madani Bumiputera Era Globalisasi

Updated: Nov 10



Oleh: Mustaffa Kamil Ayub


Sesungguhnya kita amat bertuah kerana dapat bersama dalam momen yang bersejarah dalam mengorak langkah membangun usahawan Madani Bumiputra di Era Globalisasi.


Sejarah Empayar Melayu Melaka telah membuktikan bahawa orang Melayu merupakan pedagang, pelaut dan pahlawan yang handal. Ia bertaraf antarabangsa dengan pelabuhan Melaka dapat menampung 2,000 kapal dalam satu-satu masa, 61 bangsa ada di sana, 84 bahasa dipertuturkan serta teknologi perkapalan dan meriam yang terkehadapan.


Meilink Roelofsz merakamkan hakikat ini dengan ungkapan ,"...flocked together every year in Malacca, which was then the center of inter-Asian trade".


Tome Pires menyebut bahawa Pelabuhan Melaka ketika itu adalah sebuah pelabuhan tersibuk dunia. Duarte Barbados pula menyatakan Bandaraya Melaka adalah pelabuhan terkaya dengan jumlah perdagangan borong yang terbesar.


Menurut Fahmi Baharudin, kemajuan Melaka juga boleh diukur menerusi penguasaan dalam teknologi perkapalan, senjata api, penginapan, penjahitan dan pembungkusan.


Ringkasnya, hidup orang Melayu sebagai peniaga, usahawan dan pekerja dalam bidang perniagaan, perdagangan dan pelabuhan ketika itu memungkinkan bertunasnya kreativiti dan keberanian meneroka.


Setelah lebih 400 tahun diganggu penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris serta lebih 60 tahun menikmati kemerdekaan,

kini gelombang globalisasi dirasakan seantero dunia dengan pelbagai natijahnya, positif dan negatif, bergantung kepada pilihan dan saringan yang dibuat. Ia juga pastinya memberikan kesan kepada aktiviti keusahawanan.


Serentak dengannya, dunia berhadapan dengan pelbagai konflik, penghapusan etnik, COVID-19, perang perdagangan dan seumpamanya. Juga cabaran Post Normal Time (PNT), VUCAH (Volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity dan Hiperconnectivity).


Ekonomi manusiawi


Memahami ekonomi manusiawi juga dalam kerangka besarnya, sewajarnya dihayati para usahawan Madani. Ekonomi manusiawi yang menekankan pembangunan manusia seutuhnya, penjagaan alam sekitar, tiada riba @ penindasan dan ekploitasi, pembelaan yang miskin, mengutamakan kebahagiaan hidup tanpa mengetepikan produktiviti, pertumbuhan dan keuntungan.

Mustaffa Kamil Ayub

Daripada perspektif Islam, ekonomi manusiawi berakar daripada prinsip kemuliaan insan (karamah insaniah),: "Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak cucu Adam. Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan" (Al-Isra:70).


Realitinya, di peringkat global, 8 orang terkaya dunia menguasai pemilikan 3.6 bilion manusia. 1.9 bilion manusia mengalami obesiti, sedangkan 460 juta kekurangan zat makanan, 815 juta dalam kelaparan dan 2.2 bilion penduduk dunia masih belum mendapat air minuman yang selamat.


Dalam konteks ini, kata-kata pelopor kemerdekaan India amat bermakna, "The world is enough for everybody need, but not enough for one greed".


Usahawan Madani


Justeru, usahawan Madani sesungguhnya adalah usahawan yang menghayati 6 rukun Malaysia Madani dalam praktik keusahawanannya; Kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Mustaffa bersama ahli akademik di majlis berkenaan

Contohnya, dengan nilai ihsan, usahawan yang menghayatinya akan mengelakkan rasuah, riba, penyelewengan dan pembaziran kerana sentiasa merasakan Allah SWT memerhatikannya. Juga dengan nilai ihsan, semangatnya sentiasa mahu membantu orang lain dalam berkongsi rezki atau berkongsi ilmu keusahawanan.


Sesungguhnya, ekosistem keusahawanan negara kita amat menarik dan diwarnai oleh sekitar 66 agensi di bawah pelbagai kementerian dan Kerajaan Negeri. Apa yang perlu dipertingkatkan adalah penyelarasan, perkongsian maklumat serta langkah "connecting the dots and pillars, to form the frame".


Dengan perkembangan teknologi yang kian canggih, chatGPT, AI dan seumpamanya, sewajarnya mampu membantu walaupun ada cabarannya.


Produktiviti dan pendigitalan


Malaysia menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR pada tahun 2020 dengan perlaksanaan MyDIGITAL. Terutamanya sewaktu COVID-19 dan selepasnya, penggunaan "online transactions" kian meningkat. Cabaran utamanya adalah antara lainnya, jurang digital bandar dan luar bandar, memastikan aktiviti pendigitalan yang benar-benar meningkatkan produktiviti ekonomi serta tidak disalahgunakan.


Di peringkat global sebagai contohnya, ditandai dengan peningkatan e-dagang Amerika Syarikat di tahun 2023 daripada AS$4.2 trilion kepada AS$6.5 trilion.


Dengan kepengerusiaan Malaysia di ASEAN 2025, adalah dijangkakan iklim bisnes di ASEAN juga bakal meningkat. Sewajarnya kesempatan ini diambil bagi semua usahawan melebarkan sayapnya di peringkat ASEAN dan seterusnya global. ASEAN dengan 670 juta penduduknya merupakan pasaran yang luas. Rangkaian bersama OIC dengan 57 buah Negara serta 2 bilion penduduknya. Manakala gabungan China dan India 2.86 bilion populasinya membentuk 60% penduduk dunia


Pembangunan usahawan


Dalam Bajet 2025, sejumlah RM3.8 bilion diperuntukkan bagi pembangunan usahawan, yang menyaksikan keprihatinan tinggi pihak Kerajaan. Sudah pasti aspek penyampaian dan perlaksanaan merupakan hal yang penting supaya kemas, berimpak tinggi dan tiada kebocoran.


Seperti yang dimaklumi, bidang keusahawanan adalah ladang kepada "job creation". Bagaimana ingatan Nabi Muhammad SAW, 9 daripada 10 rezeki itu, datangnya daripada perniagaan. Sekaligus juga keusahawanan mampu menjadi medan dakwah yang ampuh.


Manakala R&D bersama universiti tempatan dan industri tempatan, universiti tempatan dan universiti-industri luar negara amatlah didambakan. Dengan sinergi kekuatannya, bagi negara umpama Indonesia, Thailand, China, Taiwan dll akan mampu memacu keusahawanan ke tahap seterusnya. Sewajarnya hasil R&D tidak terbenam dalam timbunan buku atau di universiti tanpa dimasyarakatkan atau dikomersilkan.


Justeru, kolaborasi dan rangkaian dengan pelbagai pihak yang sesuai adalah suatu mekanisma menarik dalam mengembangkan potensi keusahawanan Madani.


Seperti mana yang dimaklumi, ada 66 agensi di bawah Kementerian dan Kerajaan Negeri dalam ekosistem keusahawanan. Dalam keluarga Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), terdapat 10 institusi bersamanya.


INSKEN bimbing usahawan


Sepuluh institusi tersebut adalah SMEcorp, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), PERNAS, PROTEGE, SME Bank, TEKUN Nasional (TEKUN), UDA, Institut Koperasi Malaysia (IKMA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).


Bagi INSKEN, mandat yang diberikan adalah pengendalian latihan dan bimbingan keusahawanan. Sepanjang tahun 2014 hingga 2023, 175,000 usahawan telah melalui latihan INSKEN. Manakala lain-lainnya lebih tertumpu kepada pemberian pinjaman dalam pelbagai skim.


UiTM sejak sekian lama telah memainkan peranan proaktif dalam melahirkan usahawan yang berjaya. Antaranya dengan pewujudan MASMED sebagai wadah mencanai bakat keusahawanan anak muda Bumiputra.


Sebagai contohnya usahawan berjaya UiTM antara lain adalah Dato Khay, Pengarah Urusan Kumpulan ZIKAY dalam membina rangkaian hotel Tamu dan hartanah. Manakala En. Muhammad Zamry Abu Samah, Richiamo Coffee berjaya mewujudkan 222 outlets, 1,000 pekerja hingga kini dan akan mengembangkannya ke negara-negara ASEAN mulai 2025 dan global.


Bagi terus mendukung komitmen UiTM terhadap lahirnya usahawan-usahawan Madani cemerlang, KUSKOP/INSKEN menawarkan tajaan program PROTEGE untuk 1,750 mahasiswa UiTM berjumlah RM245,000.


Langkah ke hadapan (way forward)


Berlatarkan sejarah lalu yang gilang gemilang, semangat dan ketrampilan semasa yang digilap, serta optimisme masa depan yang cerah, kita lakarkan langkah-langkah kehadapan:


1. Membina rangkaian Bisnes ASEAN


2. Mengembangkan Rangkaian Bisnes ASEAN+++++ seumpama OIC, BRICKS dll.


3. Mewujudkan Komuniti Bisnes Madani ASEAN-China berasaskan produk HALAL.


4. MASMED-KUSMA mewujudkan Sekretariat SUMBU, OSC & Rangkaian Usahawan Madani Bumiputra


5. Menyemarakkan Gerakan Menggilap setting Minda Keusahawanan Bumiputra melalui latihan, bimbingan dan kempen


6. Menjadikan Global Madani Entrepreneurship Forum sebagai suatu acara tahunan


7. Meningkatkan bilangan usahawan Madani Bumiputra MASMED


Penutup


Seruan Al Quran, Ar Raad: 11, "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali mereka mengubahnya" seharusnya menghimbau motivasi usahawan Madani.


Presiden Korea Selatan di tahun 1970an sewaktu Almarhum Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia, dalam lawatannya terlihat khat Ar Raad: 11 di Bilik Gerakan Negara. Lantas sekembalinya beliau ke Korea, terus melancarkan Gerakan "Semaul Undung". Dua dekad berikutnya brand Korea benar-benar menguasai pasaran antarabangsa.


Sinergi semua pihak, usaha dan langkah yang tepat serta doa dan tawakkal kepada Allah SWT adalah prasyarat kejayaan bersama. Suatu Revolusi Budaya (Cultural Revolution) amat diperlukan dalam membangun masyarakat usahawan Madani.


Khusus buat usahawan, bersama kita tanamkan tekad untuk terus cemerlang dengan semangat terus belajar mempertingkatkan perjuangan keusahawanan. Belajar dari buaian ke liang lahat, Minal mahdi ilal lahdi, from cradle to grave yard, hou tao lao xue tao lao, kalvi pirapu muthal yirapu varai.


_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)


* Teks ini ditulis sempena Majlis Perasmian dan Ucaputama Pelancaran Sekretariat Seminar Usahawan Madani Bumiputra (SUMBU), Pusat Sehenti MASMED UiTM dan Global Madani Entrepreneurship Forum 2024 di Hotel UiTM Shah Alam, 8 November 2024, kelolaan MASMED UiTM & Konsortium Usahawan Madani - KUSMA.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page