Oleh: Vijeyndran Ravichadran
ULASAN: Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi perwakilan, yang dikenali sebagai sistem demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan.
Pada 11 September 1959, hari ikonik ini menyaksikan penubuhan Institusi Parlimen Malaysia, di mana Persidangan Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman. Sejarah ini menjadi tonggak penting dalam perjalanan negara ini kerana Parlimen Persekutuan pertama kali bersidang dengan ahli-ahlinya, dan persidangan ini dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.
Lebih dari enam dekad telah berlalu sejak itu, Parlimen Malaysia terus bertransformasi, memperkukuh kedudukannya sebagai badan penggubal undang-undang tertinggi negara. Parlimen memegang peranan utama dalam proses pembentukan undang-undang negara, dengan Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai dua komponen utamanya. Ahli Parlimen, juga dikenali sebagai Ahli Dewan Rakyat, dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka dalam Parlimen. Manakala Ahli Dewan Negara, atau Senator, membantu dalam proses perundangan dan memberikan pandangan serta nasihat mengenai undang-undang yang dibentuk.
Reformasis berterusan parlimen
Pentingnya reformasi berterusan menjadi kunci kepada perkasaan Parlimen Malaysia. Perubahan ini harus dilaksanakan dengan telus dan segera oleh kerajaan dan pembangkang untuk memastikan Parlimen sentiasa mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat.
Dalam usaha untuk memperbaiki sistem, Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini telah memulakan langkah-langkah reformasi. Ini termasuk penubuhan 11 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bertujuan mengawal selia pelaksanaan dasar-dasar kementerian serta memberikan semak dan imbang yang efektif. Jawatankuasa ini merangkumi bidang seperti Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di bawah Perlembagaan, Kewangan dan Ekonomi, serta Keselamatan.
Selain itu, Kaukus Reformasi Parlimen dan Tadbir Urus telah ditubuhkan untuk meningkatkan institusi Parlimen sebagai mekanisme semak imbang yang lebih efektif. Ahli Parlimen pembangkang juga diberikan peluang untuk memainkan peranan penting dalam pengurusan wang negara melalui penubuhan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Ambil tindakan Ahli Parlimen melampau
Pemimpin Parlimen, seperti Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, telah menyuarakan keperluan untuk mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat yang mengeluarkan perkataan perkauman, menghina, atau mendiskriminasi jantina. Ini adalah langkah penting untuk memastikan suasana Parlimen sentiasa berada dalam suasana perbahasan yang sihat dan bermaruah.
Dalam konteks ini, desakan Ahli Parlimen Subang, YB Wong Chen, untuk melakukan reformasi institusi adalah sangat disokong. Ini bertujuan mewujudkan tadbir urus yang lebih baik, ketelusan, dan akauntabiliti.
Langkah ini adalah penting dalam melaksanakan agenda reformasi yang telah lama dijanjikan, terutamanya dalam menghapuskan pengaruh politik terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.
Reformasi perundangan penting
Pemisahan peranan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah penting untuk memastikan kepentingan awam dan keadilan sentiasa diutamakan dalam semua perkara sivil dan dagangan. Pendakwa Raya perlu bertanggungjawab secara bebas kepada Parlimen dalam tugas penuntutan awam.
Selain itu, pelantikan jawatan-jawatan utama dalam SPRM perlu diperiksa oleh Parlimen dan semua aktiviti yang dilakukan oleh SPRM harus akauntabiliti kepada Parlimen. Reformasi ini adalah asas penting untuk menghadapi rasuah tanpa pengaruh politik yang tidak wajar.
Harapannya adalah agar Parlimen Malaysia terus dipelihara dan unggul sebagai institusi tertinggi dalam proses perundangan negara, sentiasa memainkan peranan penting dalam pembentukan masa depan Malaysia.
Parlimen Malaysia adalah tempat di mana undang-undang yang adil dan perubahan positif dijalankan untuk kebaikan rakyat dan negara. Melalui reformasi yang berterusan, Malaysia akan dapat mengukuhkan asas demokratik negara dan mencapai tadbir urus yang lebih baik serta keadilan sejagat.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Wangsa Maju
Comments