
Kerajaan menggerakkan pelbagai strategi untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup berkaitan perubatan melalui pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) dengan semua kemudahan jagaan kesihatan dan farmasi komuniti perlu memaparkan harga ubat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata mekanisme itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 3 Oktober 2023, disusuli pembentangan Memorandum Jemaah Menteri bersama kementeriannya dan Kementerian Kesihatan pada 8 Januari lalu.
"Pemaparan harga ubat membolehkan rakyat mendapatkan akses maklumat harga ubat, membuat perbandingan harga, membuat pilihan premis kesihatan, merancang perbelanjaan dan mendapat informasi mencukupi berhubung kos yang akan mereka bayar.
"Mekanisme pemaparan harga ubat ini sejajar dengan hak universal pengguna iaitu antaranya hak untuk mendapatkan maklumat dan hak untuk memilih," katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka mulai 1 Mei ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipetik sebagai berkata cadangan itu tidak mendapat bantahan daripada Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), namun terdapat kebimbangan dalam kalangan pengamal perubatan am (GP) swasta yang meminta pelaksanaan mekanisme berkenaan dilonggarkan.
Armizan memberitahu pemaparan harga ubat dikuatkuasakan melalui perintah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang mengkehendaki barang atau perkhidmatan ditandakan dengan harga.
"Selain memberi akses maklumat kepada pengguna, pemaparan harga ubat ini dilihat boleh membendung kadar inflasi perubatan Malaysia yang tinggi," ujarnya.
Dalam hal ini, Armizan berkata kadar inflasi perubatan Malaysia bagi tahun 2025 diunjurkan pada angka 15 peratus, lebih tinggi berbanding kadar purata 10 peratus bagi Asia Pasifik dan 11 peratus purata global.
"Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa isu inflasi perubatan perlu ditangani secara serius dan perlu mendapat komitmen semua pihak.
"Ini termasuk suara dan peranan persatuan dan badan pengguna untuk memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan segera untuk kepentingan rakyat secara keseluruhannya," jelasnya.
Beliau berkata kerajaan telah membuktikan komitmen tinggi dengan penggubalan dasar ini dan badan pengguna perlu mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan mekanisme ini diterima dan dipatuhi oleh semua pihak yang berkenaan.
"KPDN amat berharap perintah ini dapat dikuatkuasa pada kadar segera dan mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan bahawa perintah pemaparan harga ubat ini akan berkuatkuasa pada 1 Mei 2025," ujarnya.